story image

Isu perebutan telaga minyak Bertam tercetus kerana kerajaan Persekutuan tidak pernah menggazetkan sempadan laut antara negeri-negeri, kata pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti dan Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Menurut Husam, isu yang sama juga pernah berlaku antara Kelantan dan Terengganu apabila berlakunya pertindihan telaga minyak dan gas di kedua negeri tersebut.

Kekeliruan itu boleh menyebabkan wang royalti atau wang ihsan disalah bayar terhadap negeri yang sepatutnya menerima wang tersebut, kata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu.

"Selain menentukan sempadan, penentuan sebenar rizab minyak di bawah laut juga perlu dilakukan supaya Terengganu tidak dirugikan dengan hasil royalti," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu telaga minyak Bertam yang menjadi pertikaian sama ada milik Terengganu atau Pahang.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, isu perebutan telaga minyak akan berterusan selagi sempadan laut negeri-negeri tidak ditentukan.

Sehubungan itu, katanya, bagi memaksa kerajaan Pusat mewartakan sempadan laut, negeri-negeri boleh memutuskannya semasa mesyuarat tahunan Majlis Tanah Negara yang akan diadakan pada Oktober depan.

"Kerajaan Terengganu yang berkepentingan secara langsung dalam isu ini sepatutnya mengambil langkah berkenaan. Jabatan Ukur dan Pemetaan wajib menentukan sempadan laut.

"Selepas sempadan laut ditentukan, dengan sendirinya telaga itu milik siapa, mudah untuk ditentukan. Lazimnya setiap negeri telah mempunyai asas untuk menentukan sempadan laut dengan negeri jiran," katanya lagi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin pula memberitahu bahawa sehingga hari ini tiada sebarang pengesahan yang dibuat oleh Petronas tentang status telaga minyak berkenaan.

Menurutnya, kekeliruan timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Bertam 307 milik Pahang dengan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun akan diperolehi negeri berkenaan hasil daripada telaga minyak tersebut.

"Badan perunding dari Sweden dah buat penilaian bahawa ia milik Terengganu. Tetapi yang peliknya (menteri besar Terengganu) Ahmad Razif (Abdul Rahman) pula menyatakan Bertam bukan hak Terengganu tetapi kerajaan Pusat.

"Kalau dia nak beri hujah sedemikian, dia perlu kukuhkan dengan beritahu ia berasaskan apa sehingga menjadi milik Pusat," ujarnya.

Isu Bertam 307 menjadi pertikaian selepas Najib mengumumkan telaga minyak itu milik Pahang pada 2012.

Selepas menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, Ahmad Razif dilaporkan tidak menandatangani sebarang dokumen mengenai telaga minyak Bertam kerana kawasan itu dikatakan bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

Sehingga kini, Ahmad Razif dilaporkan berkata bahawa pihaknya masih berusaha membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan agar Terengganu memperoleh pendapatan dari telaga minyak terbabit.

Menurutnya, Bertam 307 tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata sebaliknya apabila mengatakan bahawa Blok PM307 Bertam disahkan berada di kawasan perairan Terengganu.

Malah, ADUN Kijal itu pula berkata medan minyak yang ditemui oleh syarikat perunding, Lundin Oil itu terletak 120 kilometer dari Pantai Geliga.

Telaga minyak itu mengeluarkan hasil pertama pada 4 Mac 2015, katanya.

Menurutnya, semasa menjadi menteri besar, beliau pernah menulis surat kepada Lundin Oil dan syarikat itu mengesahkan bahawa Batam 307 berada di perairan Terengganu.

Ia melibatkan empat telaga daripada 15 telaga minyak di kawasan berkenaan yang secara keseluruhannya, Bertam boleh mengeluarkan kira-kira 18,000 tong sehari.

"Kita ada peta. Bertam 307 ini di Pantai Geliga, 120 kilometer dari Pantai Geliga. Sempadan ini bukan berubah setiap minggu. Yang temui telaga minyak itu, Lundin Oil telah hantar surat kepada SUK Terengganu, Maritim dan pihak polis cuma tak sempat hantar pegawai mereka untuk jumpa saya (semasa jadi menteri besar).

"Najib kata milik Pahang tetapi saya kata ia hak Terengganu. Kita ada hak lima peratus, walaupun lima peratus itu hak kita," kata Ahmad Said.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS