Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dedahkan bahawa perwakilan Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin melahirkan rasa sedih setelah mengetahui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini melakukan perkara yang boleh merosakkan negara.

Menurut beliau, para perwakilan berkenaan sangat menghormati Mahathir dan mereka berharap sekiranya bekas perdana menteri itu tidak bersetuju dengan kepimpinan sekarang, ia boleh dizahirkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Apa yang mereka utarakan itu cuma kesedihan kenapa Dr Mahathir sanggup melakukan perkara yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara ini.

“Kalau tidak bersetuju, biarlah rakyat Malaysia yang menentukan dalam pilihan raya umum. Itulah kesedihan mereka sebab Dr Mahathir sangat dihormati,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia.

Anifah berkata demikian mengulas mengenai tindak tanduk Mahathir yang boleh menjejaskan reputasi negara dan Wisma Putra mengadakan pertemuan dengan perwakilan asing bagi menjelaskan perkara itu.

Katanya, Mahathir mengambil masa yang panjang untuk membina Malaysia ini menjadi negara moden dan bapa pemodenan itu seharusnya diberikan penghargaan atas usahanya.

Namun kini, Mahathir dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kepentingan diri melebihi kepentingan negara.

“Untuk membina reputasi Malaysia, selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Beliau mengambil tempoh yang panjang untuk membina reputasi negara dan kita perlu beri penghargaan Malaysia negara moden kepada Dr Mahathir.

“Sekarang seolah-olah kerana kebencian, sebab beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara, biarlah negara hancur. Sekarang ia menjadi peribadi dan kepentingan negara jadi nombor dua,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Anifah berkata, beliau sangat menghormati Mahathir bagaimanapun perbuatan yang dilakukannya itu janganlah sampai mengancam kedudukan ekonomi negara ini.