Purata gangguan elektrik di Kedah 52 minit
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah berjaya mencapai sasaran Indeks Tempoh Purata Gangguan Bekalan (Saidi) di bawah 60 minit bagi setiap akaun pengguna TNB di negeri ini.
Pengurus Besar (Bahagian Pembahagian) TNB Kedah Zubir Hashim berkata, sasaran ditetapkan ialah 60 minit setahun bagaimanapun setakat ini tempoh purata gangguan bekalan di Kedah adalah 52 minit iaitu di bawah sasaran ditetapkan.
"Di Kedah terdapat sejumlah 670,000 akaun pengguna TNB dan tempoh purata gangguan bekalan yang dicatatkan di seluruh negeri ialah 52 minit setahun.
Terdapat 11 kawasan TNB di Kedah dan kesemuanya berjaya mencapai sasaran yang diletakkan ... lebih rendah Saidi adalah lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan van jenazah oleh TNB kepada pengurusan Masjid Assalam, Kampung Chepir, dekat Sik yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.
Zubir berkata, TNB membuat pemantauan setiap hari bagi memastikan pengguna mendapat semula bekalan elektrik tidak melebihi tempoh empat jam apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.
- Bernama

