Mukhriz saran penyokong kekal Umno, intip untuk BERSATU
Penyokong bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempunyai pilihan untuk terus bersama Umno tetapi pada masa yang sama ‘mengintip’ untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
"Ahli Umno yang terus menyokong saya tetapi tidak sanggup untuk keluar Umno kerana sebab-sebab peribadi boleh terus bersama parti.
"(Mereka boleh) membantu parti baru kami dengan mengumpul maklumat," kata Mukhriz yang dipetik akhbar Cina, Oriental Daily semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.
Mengenai arahan yang melarang ahli Umno daripada menyokong BERSATU, Mukhriz berkata, ini adalah kenyataan lazim yang menggambarkan keangkuhan pemimpin Umno yang tidak menghiraukan sentimen ahli.
Beliau juga menggesa mereka yang ingin menyertai parti baru itu supaya bersabar, kerana mereka tidak boleh mengedarkan borang keahlian sehingga Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftarannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berjanji bahawa ROS akan bertindak secara profesional dan mematuhi peraturan sedia ada dalam mengkaji permohonan BERSATU.
Zahid berkata, permohonan akan dikaji secara terperinci dan ini memakan masa sekurang-kurangnya 30 hari untuk diluluskan.

