Kumpulan-kumpulan agama yang memperjuangkan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah tampil mempertahankan kenyataan polis berkaitan bahaya penyelewengan pandangan tokoh agama Ibn Taimiyyah bagi tujuan keganasan.

Mereka mempertahankan kenyataan ketua penolong pengarah antikeganasan Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mencadangkan pemantauan terhadap penggunaan pendapat Ibn Taimiyyah.

Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Pertubuhan Ahli Sunnah Asya'irah Wilayah Utara (PENAWAR) berkata orang ramai patut mengkaji pemikiran IS dan bukan “tunjuk pandai” terhadap pasukan polis.

“Sepatutnya pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan anggota PDRM, mulakanlah usaha mengkaji akar umbi pemikiran tokoh tersebut serta mencari jawapan kenapa kenyataan tokoh itu seringkali disalahgunakan oleh golongan militan DAESH, bukannya cuba 'tunjuk pandai' dan hendak 'mengajar' pula anggota PDRM,” katanya.

Dalam seminar berkaitan ancaman IS dan istilah Kafir Harbi di ibu negara baru-baru ini, Ayob dilaporkan mahu pihak penguasa agama memantau agamawan dan ahli akademik yang kerap memetik pendapat Ibn Taimiyyah dalam ceramah dan penerbitan.

Ayob berkata, berdasarkan pengakuan dan bahan propaganda, terdapat kerana banyak fatwa ulama tersebut diseleweng IS untuk mewajarkan tindakan ganas mereka.

Katanya, IS antaranya melabelkan pandangan Asya'irah dan Maturidiyyah yang menjadi asas pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai syirik, murtad dan tergolong ahli neraka.

Beliau bagaimanakah menegaskan "Saya tidak mengatakan Ibn Taimiyyah itu sesat".

Pandangan itu bagaimanapun ditolak Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tampil menempelak Ayob kerana didakwa “memfitnah” Ibn Taimiyyah.

Katanya, seseorang anggota polis tidak patut melibatkan diri dalam pertembungan aliran pemikiran dalam Islam.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga menolak kaitan ulama itu dengan pendekatan ekstrim kerana tulisannya menjadi rujukan di pelbagai universiti dunia.