Sebuah forum membincangkan masa depan gabungan pembangkang, susulan penubuhan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan diadakan di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya malam ini.

Dijadual bermula pada jam 8 malam, ia akan membincangkan sama ada penubuhan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad mencorakkan gerakan pembangkang di masa depan.

Penganjurnya Pemuda PKR (AMK) berharap ia menjadi ruang wacana sihat dalam membina “naratif baru politik parti pembangkang” di Malaysia.

“Forum ini juga diharap dapat memberi ruang yang sihat untuk setiap parti memberi pandangan kepada umum untuk dinilai dan masa yang sama mendengar sendiri respon dan soal jawab dari orang awam dan pemerhati politik,” kata Timbakan Ketua AMK Dr Afif Bahardin (gambar).

Afif yang juga exco kesihatan Pulau Pinang antara ahli panel untuk acara malam ini.

Turut berkongsi pentas bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk S Ambiga, pemimpin muda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pemimpin muda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil.

Penubuhan BERSATU setakat ini mendapat reaksi berbeza-beza daripada pelbagai pihak.

Selain bantahan dan serangan pemimpin Umno, ia juga mendapat kritikan kerana dikatakan bersifat inklusif kerana penyertaannya untuk Bumiputera sahaja dan bukan bumiputera hanya berstatus anggota bersekutu.

Selain itu, banyak pihak tertanya-tanya bagaimana BERSATU akan bersama Pakatan Harapan dan PAS berdepan BN dalam pilihan raya umum akan datang, yang sekali gus membawa kepada kerumitan pembahagian kerusi.