'Demo di stadium? Bukan nak main bola'
BERSIH tidak akan takut berdepan ancaman pemimpin Umno Sungai Besar Jamal Yunos untuk mengadakan perhimpunan Baju Merah serentak dengan BERSIH 5, kata pengerusinya.
Maria Chin Abdullah berkata pihaknya meletakkan tanggungjawab memastikan keamanan kedua-dua perhimpunan itu di tangan polis.
“Pada pendapat saya kedua-dua kumpulan berhak berhimpun seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
“Tanggungjawab mengawal himpunan kedua-dua pihak terletak di tangan polis.
“Jika menjadi perkauman, ia kerja kerajaan dan Baju Merah,” katanya.
Beliau membangkitkan himpunan Baju Merah pada 16 September tahun lalu yang berbaur perkauman ketika peserta mahu merempuh hadangan polis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Ditanya sama ada beliau akan membuat pengubahsuaian perhimpunan BERSIH 5 susulan langkah kumpulan berbeza pandangan itu, Maria menolaknya.
Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, aktivis Hishamuddin Rais pula menolak cadangan supaya perhimpunan #Tangkap MO1 pada 27 Ogos diadakan di dalam stadium.
“Kita nak buat apa dalam stadium, main bola?” soalnya sinis.
Sidang media hari ini dianjurkan BERSIH dan sembilan NGO bagi menyatakan sokongan terhadap perhimpunan #TangkapMO1.

