Radzi: Jangan persoal keputusan lembaga disiplin Umno
Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad menasihatkan para pemimpin dan ahli parti yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin supaya tidak mempersoalkan keputusan itu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad menasihatkan para pemimpin dan ahli parti yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin supaya tidak mempersoalkan keputusan itu.
Radzi berkata, mereka yang dikenakan tindakan masih berpeluang merayu kepada Panel Rayuan dan keputusan panel itu akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk keputusan muktamad.
Menurut laporan Bernama , beliau memberitahu pemberita demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti itu.
Baru-baru ini Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil digantung keahliannya selama tiga tahun manakala Ketua Umno Bahagian Kota Baharu Datuk Mohd Zaid Ibrahim pula diberi amaran oleh lembaga itu kerana terbabit dalam politik wang.
Kedua-dua serta penyokong mereka menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu.
Menurut Radzi, lembaga itu dianggotai tokoh-tokoh veteran yang berpengalaman dan dalam membuat keputusan tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam parti.
"Mereka tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa sebaliknya meneliti bukti-bukti yang dikemukakan sebagai landasan keputusan itu," kata beliau. Lembaga itu dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail.
Dakwaan 'pilih kasih'
Zaid yang dikatakan amat kecewa dengan keputusan tersebut dilaporkan menimbang untuk mengundurkan diri dari politik dan menumpukan perhatian pada perniagaannya sahaja.
Beliau yang merasakan dirinya dianiaya oleh pihak tertentu, pelik bagaimana lembaga disiplin boleh mendapatinya bersalah sedangkan tiada bukti-bukti kukuh dia melakukan kesalahan yang didakwa.
Zaid didakwa melanggar tata ektika 2.2 kerana terbabit dengan ejen ketika pemilihan bahagian berlangsung. Lalu beliau diberikan amaran.
Begitu juga Shahrir Abdul Jalil juga merasakan diri menjadi mangsa fitnah politik kerana digantung keahliannya sepenggal atau tiga tahun.
Malah, badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan juga dilaporkan terkejut dengan keputusan itu, sehinggakan setiausahanya, Datuk Syed Ali Al-Habshee menyifatkan lembaga disiplin tidak berwibawa kerana menjatuhkan hukuman berbeza walaupun bagi kesalahan yang serupa.
Beliau dilaporkan berkata, lembaga disiplin pilih kasih dalam membuat keputusannya kerana Shahrir adalah ketua bahagian Umno yang ketiga di Wilayah Persekutuan dikenakan hukuman gantung.
Sebelum ini ketua bahagian Titiwanga, Datuk Astaman Abdul Aziz dan ketua bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh juga dikenakan hukuman yang sama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.