Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertikaikan soalan pihak media berkaitan seorang pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan kerana kes rasuah awal minggu ini.

Katanya, soalan tersebut perlu diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa mereka.

Selain itu, mengikut pemerhatiannya, pegawai terbabit mempunyai mutu kerja yang memuaskan dan beliau tidak tahu perkara selain daripada itu.

“Kalau kerja mereka bagus, perkara lain selain itu kami tidak tahu, kenapa kamu tuju soalan ini pada saya.

“Ia tidak adil, SPRM untuk apa? Cara awak bertanya tidak adil untuk saya,” katanya sedikit emosi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kenyataan seorang pegawai kanan SPRM yang hairan dengan sikapnya kerana memberi pujian kepada pengarah DBKL yang ditahan suruhajaya itu baru-baru ini.

Pegarah DBKL berkenaan adalah salah seorang daripada tiga penjawat awam yang ditahan atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram, awal minggu ini.

Tengku Adnan berkata, pegarah tersebut kini digantung tugasnya dan kes itu telah diserahkan kepada SPRM untuk tujuan siasatan.

“(Pegarah itu) digantung sementara. Kita akan tempatkan orang lain untuk jalankan tugas itu,” katanya yang juga setiausaha agung Umno.

Beliau berkata sebagai tindakan susulan, pihaknya akan mendapatkan garis panduan daripada pihak SPRM berhubung kes melibatkan rasuah.

Katanya, terdapat jabatan integriti dalam DBKL dan pihak kementerian telah memberi nasihat kepada pegawai termasuk Datuk Bandar sendiri, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz untuk mengisytiharkan harta mereka.

Terdahulu, Tengku Adnan hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Khas Kepada Golongan Asnaf dan Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Keramat Mall, Kuala Lumpur.