Terjemahan Beberapa hari selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas tuduhan politik wang, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim telah meluahkan rasa tidak puashatinya terhadap hukuman tersebut di Dewan Rakyat.

Sambil mempertikaikan kredibiliti lembaga disiplin tersebut, beliau bertanya sama ada lembaga itu mempunyai hak untuk mengambil tindakan di luar undang-undang negara.

Zaid menegaskan demikian ketika bangun mencelah sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi ini.

Menurutnya, lembaga itu tidak mempunyai prosedur yang sempurna dan yang diiktiraf, tetapi mempunyai kuasa seperti mahkamah untuk menuduh orang lain terbabit dalam amalan rasuah dan kemudian menghukum mereka seperti penjenayah.

Oleh itu, katanya, patutkah kerajaan membiarkan sebuah lembaga disiplin menjalankan peranan sebuah mahkamah walaupun ia tidak mengikut prosedur undang-undang.

Beliau yang memiliki firma guaman terbesar di negara ini berkata sekiranya kerajaan membiarkan lembaga disiplin sebuah parti politik bertindak sebagai sebuah mahkamah, ini akan turut menjejaskan kerajaan.

Khamis lalu, Zaid didapati bersalah oleh lembaga disiplin Umno atas tuduhan terbabit dengan politik wang tetapi dilepaskan dengan diberi amaran.

Beliau didapati bersalah melanggar Seksyen 2.2 etika pemilihan Umno sewaktu pemilihan parti itu tahun lalu kerana melantik agen untuk berkempen.

Bersara dari politik

Semalam, beliau memberitahu malaysiakini yang beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan menimbang kemungkinan untuk bersara daripada politik.

Katanya, beliau tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap lembaga disiplin dan oleh itu tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman ke atasnya itu.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Zaid itu, Mohd Nazri berkata mana-mana institusi mempunyai hak untuk mengenakan peraturan ke atas ahli-ahlinya.

Katanya, Umno dilihat sebagai sebuah parti politik yang menjadi tumpuan masyarakat, maka apa juga yang berlaku di dalam parti itu, sentaisa mendapat perhatian.