Kjaan diminta siasatan cabutan bertuah untuk mangsa tsunami
Kerajaan Negeri Pulau Pinang diminta menyiasat dakwaan terdapat cabutan bertuah yang menghadiahkan sebuah enjin bot jenis Armada dan bot untuk mangsa tsunami di negeri itu.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang diminta menyiasat dakwaan terdapat cabutan bertuah yang menghadiahkan sebuah enjin bot jenis Armada dan bot untuk mangsa tsunami di negeri itu.
Ketua Pembangkang, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) berkata, cabutan bertuah itu kononnya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan seorang nelayan di Seberang Perai telah dipilih sebagai pemenangnya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh pemenang itu, Saw Eng Guan, bahawa seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Jasmin Said telah menemui nelayan itu dan memaklumkan mengenai kemenangannya.
"Bagaimanapun, sampai sekarang nelayan itu tidak menerima "hadiahnya" dan sebaliknya terpaksa membelanjakan sebanyak RM880 untuk membaiki bot dan enjinnya yang rosak dalam kejadian tsunami itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap ucapan perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Isnin lalu dan hari ini adalah hari ketiga persidangan Dewan itu.
Menurut laporan Bernama , Phee berkata, nelayan itu juga mengadu bahawa beliau telah diminta untuk menandatangani surat penerimaan hadiah berkenaan oleh "pegawai" tersebut.
Tuntutan berlebihan
Selain itu, katanya, sehingga kini nelayan berkenaan tidak mendapat bayaran balik bagi kerja membaikpulih botnya itu kerana pihak persatuan nelayan telah membuat tuntutan yang berlebihan daripada jumlah bayaran sebenar.
Katanya, persatuan nelayan mengemukakan bil sebanyak RM1,800 kepada Dana Nelayan sedangkan kos sebenar hanyalah RM880.
"Oleh itu, nelayan itu tidak mahu tandatangan surat penerimaan bayaran dan saya minta kerajaan negeri siasat kes ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata, beliau tidak mengetahui mengenai sebarang cabutan bertuah untuk mangsa tsunami di negeri ini.
"Ini merupakan kali pertama saya mendengar kes sebegini dan setahu saya tiada sebarang cabutan bertuah untuk mangsa tsunami khususnya bagi nelayan. Yang paling buruk lagi ia melibatkan nama Perdana Menteri," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta maklumat lanjut mengenai dakwaan itu dan akan menyiasatnya.

