Terjemahan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) hari ini menyerahkan memorandum mengenai masalah yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, kepada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) serta ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, wakil-wakil dari badan bukan kerajaan itu diberitahu oleh pegawai keselamatan supaya meninggalkan Parlimen sebaik sahaja mereka menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut pegawai Parlimen, delegasi 13 orang itu, yang diketuai oleh penyelaras Jerit, D Sevan, diberitahu supaya meninggalkan premis tersebut kerana kawasan lobi adalah untuk ahli Parlimen sahaja.

Apabila ditemui oleh para wartawan, Sevan telah diberitahu supaya jangan membuat sebarang kenyataan dalam kawasan Parlimen.

Setiausaha BBC, Rosli Mat Hasan (BN-Dungun), yang menerima memorandum tersebut, menafikan yang delegasi Jerit itu diarahkan supaya beredar dari situ.

"Saya yang menjemput mereka masuk ke lobi. Pada awalnya mereka malu untuk masuk," katanya ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak dibenarkan bercakap dengan pemberita. Mungkin ini dasar Parlimen atas sebab-sebab keselamatan," katanya sambil menambah, kumpulan tersebut telah membuat temujanji untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Kaji perakuan

Mengenai memorandum tersebut, Rosli berkata ahli Parlimen Barisan Nasional akan mengkajinya dan membangkitkanisu-isu berkaitan dalam pertemuannya dengan Jabatan Perdana Menteri dan unit perancang ekonomi mengenai Rancangan Malaysia ke-9.

"Isu-isu dalam memorandum ini akan merupakan antara bahagian-bahagian kecil dalam cadangan kami kepada kerajaan," katanya kepada pemberita.

Memorandum untuk ahli Parlimen pembangkang pula diterima oleh Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang jua naib presiden parti itu.

Memorandum itu, yang diturut disokong oleh lebih 130 pertubuhan, mengandungi perakuan-perakuan oleh Jerit untuk mengurangkan penderiaan golongan berpendapatan rendah.

Bulan lalu, Jerit mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.