Bagaimana penerimaan anggota akar umbi Umno Pagoh apabila bekas ketua yang mereka sokong selama ini tiba-tiba menggerakkan sebuah pertubuhan baru dan bakal mencabar parti mereka pula?

Bercampur baur - itu reaksi yang dapat dilihat Malaysiakini ketika ditanya pandangan mereka mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain mengambil sikap tunggu dan lihat, segelintir pihak pula secara terbuka menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin, terutama apabila BERSATU didakwa menjalinkan kerjasama dengan pembangkang termasuk DAP.

Bagi Ahli Jawatankuasa Umno Pagoh, Mohd Noh Abdullah, walaupun menghormati Muhyiddin namun beliau tidak menyokong tindakan bekas menteri besar Johor itu menubuhkan parti baru.

"Bila sebuah parti baru ditubuhkan menentang Umno, saya tak akan menyokong.

"Kita sebenarnya memang hormat pada Tan Sri (Muhyiddin) tetapi setelah sesuatu terjadi, dia sekarang sebaris dengan pembangkang - DAP, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, (Mohamad) Mat Sabu.

"Jadi hati kita dah terdetik, mana janji-janji dulu yang mengatakan kita jangan bersama DAP, pembangkang? Akhirnya dia pilih jalan macam itu," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Jamilah Abdul Hamid yang merupakan ahli jawatankuasa Wanita Umno Pagoh, beliau berpandangan walaupun ramai yang menyayangi Muhyiddin namun tidak ramai yang akan mengikut jejak langkahnya menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, Jamilah mengakui terdapat segelintir individu yang masih menjadi ahli Umno menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin dan mungkin akan menyertai BERSATU.

"Kita hormati keputusan Tan Sri. Kita akui orang politik perlukan platform dan kita hormati walaupun tak boleh ikut dia atas perjuangan masing-masing.

"Kami tak nafikan semua sayangkan Tan Sri dan hargai semua yang dia lakukan tapi untuk nak bersama Tan Sri, ada kekangan di situ.

"Ada juga la dengar yang nak ikut dia. Tak nafikan ada yang akan pergi (sertai Muhyiddin ) tapi tak mungkin sampai 50 peratus," katanya.

Selain itu, seorang lagi ahli jawatankuasa Umno bahagian, Muzammil Ali menafikan bahawa Umno kawasan itu kini berpecah selepas pemecatan timbalan perdana menteri itu.

Ketika diminta memberi komen mengenai BERSATU, beliau enggan mengulas memandangkan parti itu masih belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Akar umbi menganggap Tan Sri adalah pejuang bagi kami dan kami masih ingat jasa Tan Sri walaupun di hati ada rasa terkilan tapi perjuangan Umno masih diteruskan.

"Dan hari ini Muhyiddin pun dah pilih jalan dia dan kita akur dengan pilihan dia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Kampung Sebasu, Salim Wagiman berkata terdapat segelintir pihak di kalangan Umno Pagoh menyatakan kesediaan untuk menyertai BERSATU.

Namun, katanya, bilangan yang ingin menyertai parti baru itu tidak akan menjejaskan Umno cawangan serta bahagian di Pagoh.

"Segelintir ada la (nak sertai parti baru). Tapi tak akan ada apa-apa," ujarnya.

Awal bulan ini, Muhyiddin mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan BERSATU kepada ROS.

Presiden penaja itu juga mendedahkan bahawa parti baru berkenaan terbuka kepada semua kaum, tetapi mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding mana-mana jawatan atau mengundi pada pemilihan parti.

Penubuhan parti baru itu juga mendapat tentangan daripada pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan BERSATU akan bekerjasama dengan DAP.