Namewee dikenakan perintah reman empat hari
Penyanyi rap, Wee Meng Chee, yang lebih dikenali sebagai Namewee, dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari berhubung penerbitan muzik video terbarunya yang dirakamkan di beberapa tempat ibadat di Pulau Pinang, termasuk sebuah masjid di Tanjung Bungah.
Beliau disiasat berhubung video bertajuk 'Oh My God', yang menampilkan dirinya bersama tiga yang lain, yang didakwa menghina Islam.
Polis mendapat perintah reman daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah) Ahmad Tajudin Zaini di George Town pagi tadi.
Namewee kekal tenang ketika perintah reman itu dibacakan.
Dia memakai T-shirt dan seluar jeans putih dengan topi salji kegemarannya.
Selepas 20 minit di bilik reman, Namewee dibawa dengan kereta polis, yang meninggalkan premis mahkamah kira-kira jam 10.50 pagi.
Penyanyi berusia 33 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Penyanyi itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 3.30 petang semalam, apabila dia pulang dari Taipei, Taiwan.
Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana didakwa menghina Islam.
Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan klip video berkenaan dan polis mula mencarinya.

