Keputusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tidak lagi menawarkan pinjaman 100 peratus mungkin menyaksikan pelajar menacari Ah Long, kata Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tabung itu tidak lagi mampu memberi pinjaman penuh kerana kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

“Majoriti rakyat Malaysia akan menghadapi kesusahan untuk menyambung pelajaran sehinggakan ada yang terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan-kawan, malah yang lebih teruk lagi ada juga yang meminjam daripada Ah Long.

“Jadi kami menyarankan pihak kerajaan untuk mengkaji semula keputusan ini dan mengambil langkah-langkah yang sebaiknya untuk mengatasi masalah ini dengan lebih menyeluruh.

“Jangan gadaikan masa depan Malaysia sedangkan pengurusan oleh pihak PTPTN dan kerajaan sendiri tidak baik. Betulkan diri dahulu sebelum menghukum rakyat yang semakin tertindas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Nazmi, meskipun memahami kekangan kadar pembayaran balik peminjam yang rendah memberi implikasi, namun PTPTN perlu mengambil kira bahawa ramai graduan tidak mampu membayar balik kerana masih belum mendapat pekerjaan atau berpendapatan kecil kelembapan ekonomi.

Kos sara hidup yang tinggi juga, katanya memberi kesan kepada mereka untuk membayar balik pinjaman.

"Masalah pembayaran semula ini telah lama dikenalpasti oleh pihak PTPTN dan sehingga kini mereka masih gagal melaksanakan apa-apa tindakan perancangan yang berkesan untuk mengatasinya.

“Malah, daripada dulu lagi PKR sudah menyarankan pihak kerajaan untuk mengkaji punca sebenar permasalahan ini.

“Sehingga kini kami tidak dimaklumkan tentang sebarang kajian yang dibuat,” kata Nik Nazmi.

Sehingga Disember 2015, PTPTN hanya berjaya mengutip RM8 bilion berbanding sasaran RM15 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan.

PTPTN juga hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut IPTA dan 85 peratus kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPTS).

[Baca berita penuh]