Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh reman pegawai kanan DBKL dilanjut 5 hari

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini menyambung tempoh tahanan reman seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri' selama lima hari bermula esok bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Suspek berusia 54 tahun itu dibawa ke mahkamah sekitar 9.35 pagi tadi.
Tahanan reman itu akan berakhir 27 Ogos.

Pegawai DBKL yang bergelar Datuk Seri itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 16 Ogos, yang berakhir hari ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata tempoh reman dilanjutkan untuk
melakukan beberapa lagi siri penggeledahan, merakam kenyataan kontraktor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek selain mendapatkan dokumen-dokumen penting berhubung kes berkenaan.

Pada Isnin lepas, suspek ditahan di pejabatnya di bangunan DBKL pada 3.07 petang.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Di bawah Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Bagi Akta Pengubahan Wang haram pula, pelaku boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff berkata beliau telah meminta anak guamnya dibebaskan dan MACC pula meminta tempoh tahanan reman dilanjutkan selama tujuh hari.

-Bernama

Lihat Komen
ADS