Saya pernah kerja di bank dengan gaji RM350, kata Mukhriz
Pengkritik menuduh bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memerintah sebagai perdana menteri selama lebih daripada dua dekad mengumpulkan kekayaan berbilion-bilion tetapi ini dinafikannya.
Malah, anaknya Datuk Seri Mukhriz berkata pernah bekerja sambilan semasa belajar di Jepun.
“Selepas saya tamatkan pengajian di maktab, saya telah dihantar (menyambung pengajian) ke Jepun. Saya bekerja separuh masa di sebuah bank di sana dengan gaji yang diberikan hanya RM350 sebulan.
“Saya bekerja selama lima hari seminggu dan saya gunakan duit gaji yang diperoleh untuk menyara keperluan diri di sana,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Abang bekas menteri besar Kedah itu, Datuk Mokhzani adalah antara orang paling kaya di negara ini.
Mukhriz juga mendedahkan bahawa beliau sengaja memohon jawatan sebagai pelayan di sebuah kafe di media sosial untuk menarik golongan muda untuk bekerja sambilan bagi mengurangkan kadar pengangguran.
Katanya, anak muda tidak perlu menghabiskan masa di rumah selepas menamatkan pengajian mereka, dan digalakkan mencari pekerjaan tanpa mengira gaji.
“Kita tak mahu anak muda membuang masa dengan hal yang tidak berfaedah. Kalau ada peluang kerja, eloklah ambil peluang tersebut,” katanya.
Bulan lalu, Mukhriz mencuri perhatian apabila dirinya memberi respons kepada iklan oleh sebuah kafe di Kedah yang mencari pelayan yang disiarkan di Instagram.
Menjawab syarat-syarat yang ditetapkan dalam iklan itu, Mukhriz mengesahkan beliau bersedia bekerja sepenuh masa kerana dia tidak mempunyai pekerjaan.
“Lelaki - ya memang lelaki. - boleh kerja sepenuh masa - memang tak ada kerja pun. - berumur 18 tahun ke atas - dah 52 tahun dah. - Menepati masa - Insya-Allah. - berperwatakan menarik- boleh lah. Menariklah juga.”
Pengendali akaun Instagram berkenaan kemudian menjawab, “Kelia.... nanti kita interview Datuk @mukrizmahathir.. hehe,” katanya.

