Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat Jefrizal Mohd Jaafar hari ini membuat laporan polis ke atas adik bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman.

Ini susulan posting gambar Hamizura Osman di Facebook yang kononnya menunjukkan wang diagihkan kepada guru-guru yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan Tahunan Bahagian Kuala Langat.

Gambar profil Hamizura di Facebook memaparkannya bersama logo parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Jefrizal juga membuat laporan polis terhadap ADUN Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi kerana membawa tuduhan yang sama.

Katanya, kedua-dua mereka menyiarkan sekeping gambar surat sebenar jemputan ke mesyurat berkenaan tetapi menyelitkan gambar palsu dalam bas dan penumpangnya menerima wang.

“Perkara ini telah viral, kebanyakan posting berasal dari Hamizura Osman. Surat itu adalah separa benar tapi gambar dalam posting tersebut adalah tidak benar.

“Saya tak kenal (wanita dalam gambar) Konon-konon ada perwakilan dalam bas dan ada orang hulur sampul, ia timbul persepsi beri wang pada jemputan-jemputan ini.

“Saya nafikan Umno Kuala Langat panggil orang luar ke perwakilan Umno kawasan Kuala Langat dengan jemput naik bas, bagi duit sebagai fitnah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut semakan, Ahmad Yunus dan Hamizura telah pun memadamkan posting berkenaan dari Facebook mereka.

Jefrizal berkata, bukan sesuatu yang aneh bagi mereka menjemput guru-guru dari sekolah cemerlang melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk hadir ke Mesyuarat Perwakilan Tahunan Bahagian itu untuk diberikan penghargaan.

Katanya, sebelum ini pihaknya pernah menjemput pelajar cemerlang untuk diberikan penghargaan dan memanggil jemaah haji untuk disampaikan sumbangan dalam majlis berkenaan.

Jefrizal yang juga Timbalan Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda Umno menggesa supaya kedua-dua individu itu membuat permohonan maaf secara baik.

“Saya memohon mereka buat permohonan maaf secara baik, kita bagi tempoh selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kalau tidak ada permohonan maaf, kita akan ambil tindakan sewajarnya termasuk bawa ke mahkamah.

“Permohonan maaf bukan hanya di Facebook tapi saya mahu mereka benar-benar minta maaf,” katanya.