Menteri: Tiada cukup bukti untuk dakwa pengunjung disko Zouk
Tiada sebarang pertuduhan dibuat terhadap umat Islam yang ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke disko Zouk di Kuala Lumpur Januari lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.
Tiada sebarang pertuduhan dibuat terhadap umat Islam yang ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke disko Zouk di Kuala Lumpur Januari lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat, ini kerana pihak pendakwaan mendapati "ada fakta tidak lengkap dan tidak boleh dijadikan asas pertuduhan".
Menurut laporan Bernama , berikutan itu, katanya, pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak mendakwa setelah mengkaji laporan pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
"Mengikut prosedur yang diamalkan, isu yang hendak dibawa ke Mahkamah Syariah dikendalikan oleh dua bahagian berasingan iaitu penguatkuasaan dan pendakwaan Jawi," katanya.
Dalam kes tersebut, katanya, bahagian penguatkuasa telah mengemukakan laporan kepada pendakwaan untuk diteliti, dan ada fakta yang tidak lengkap dan tidak boleh jadi asas pertuduhan.
"Bahagian pendakwaan membuat keputusan berdasarkan kuasa padanya untuk tidak mendakwa," katanya.
Oleh itu, katanya, tidak timbul persoalan yang Jawi telah menarik balik pertuduhan terhadap mereka, sepertimana dakwaan Ahli Parlimen PAS Pendang, Dr Mohamed Hayati Othman.
Ketika menjawab seterusnya soalan lain Dr Mohamed Hayati, Dr Abdullah berkata kerajaan tidak boleh bertindak "pakai main rembat macam lembu sepanyol" dalam menguatkuasakan undang-undang Islam.
Prosedur pendakwaan
Setiap tindakan perundangan ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang sedia ada perlu mengikut peraturan dan prosedur pendakwaan, katanya.
Mengenai cemuhan orang ramai mengenai tindakan Jawi itu, beliau berkata, berkata ia ditujukan terhadap aspek teknikal penguatkuasaan yang tidak menekankan prosedur operasi yang standard dan bukannya pada undang-undang Syariah itu sendiri.
Mengenai peranaan Islam Hadhari berikutan wujudnya pusat hiburan, judi dan kilang arak di negara ini, Abdullah berkata sebagai satu pendekataan baru dalam membangunkan masyarakat dan negara, kerajaan telah memilih pendekataan secara dakwah dan pendidikan.
Selain itu, katanya, terdapat peruntukan undang-undang bagi membanteras perbuatan meminum arak dan perjudian di kalangan umat Islam yang termaktub dalam Akta dan Enakamen Kesalahan Jenayah Syariah.
Sementara itu, katanya, 12 negeri telah meluluskan penyeragaman undang-undang syariah, termasuk Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta Prosedur Jenayah Syariah di negara ini, kecuali Kedah dan Wilayah Persekutuan.
"Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk memperakukan atau meminta supaya ada penyelarasan terhadap lima rang undang-undang ini," katanya ketika menjawab Md Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh).
Abdullah berkata bagi negeri Kelantan dan Terengganu, hanya empat daripada undang-undang berkenaan telah diwartakan.

