Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali mencadangkan gaji dan elaun kakitangan sektor awam yang berpendatan rendah dan sederhana, termasuk pasukan beruniform seperti polis dan tentera, dinaikkan 10 peratus berkuatkuasa 1 Januari lalu.

"Sepatutnya merekalah yang mendapat keutamaan kenaikan gaji dan elaun itu. Alangkah baiknya jika mereka juga mendapat faedah yang sama seperti para menteri dan ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Sebenarnya, pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang paling tertekan oleh kenaikan harga barang, dan belanja hospital, sekolah, tambang dan sebagainya.," tambahnya.

Selain itu, katanya, kerajaan hendaklah mempengaruhi majikan, terutama syarikat besar supaya mengambil langkah bagi menaikkan gaji dan elaun sempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenaikan gaji dan elaun menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen yang diumumkan minggu lalu.

Syed Husin berkata, kali terakhir kerajaan menaikkan gaji dan elaun menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen ialah pada tahun 2000.

Kenaikan ikut prestasi

Menurutnya, PKR faham bahawa ramai ahli Parlimen perlu mengeluarkan banyak belanja untuk mendapatkan pembantu, membuka pusat khidmat masyarakat dan sebagainya.

Tetapi katanya, ramai juga mereka yang tidak menyediakan kemudahan tersebut; bahkan jarang melawat kawasan dan selalu tidak hadir sidang Parlimen.

"Mengapakan kenaikan diberi kepada semua, tidak kira mereka yang membuat kerja atau tidak? Sepatutnya kenaikan gaji dan elaun itu diberi mengikut prestasi mereka, sebagai insentif supaya mereka bekerja lebih kuat," katanya.

Kata Syed Husin lagi, adalah tidak adil apabila kenaikan gaji dan elaun itu diberi dengan begitu senang kepada para menteri dan ahli Parlimen, tetapi amat sukar diberikan kepada golongan buruh serta pegawai rendah dan sederhana dalam kerajaan.