Terjemahan Gurauan April Fool dalam malaysiakini sedang disiasat oleh Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Parlimen hari ini, Dr Lim berkata, walaupun ianya satu gurauan tetapi beliau mendakwanya ianya berniat jahat.

Menurutnya, MCMC dan Pejabat Peguam Negara sedang menentukan di bawah undang-undang mana untuk mengambil tindakan terhadap malaysiakini .

Ditanya mengenai kemajuan siasatan tersebut, Dr Lim berkata: "Saya bukan seorang pendakwaraya. Biarlah undang-undang dilaksanakan. Tidak perlu terburu-buru untuk mendakwa orang."

Perbahasan mengenai rasuah

Gurauan April Fool malaysiakini itu yang disiarkan pada 1 April lalu 'mendakwa' tiga menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah.

Dalam reaksi selepas berita itu disiarkan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail memberitahu pihak media yang beliau tidak nampak sebarang gurauan berhubung laporan tersebut, dan berkata akan mengambil tindakan terhadap malaysiakin i.

Beliau juga dilaporkan akan mengarahkan pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Bagaimanapun kemudiannya, Abdul Gani memberitahu malaysiakini bahawa beliau telah disalahpetik dan tidak pernah berkata akan mengarahkan polis menyiasat perkara tersebut.

Manakala Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Prof Hamdan Adnan pula dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia menggesa supaya malaysiakini diharamkan kerana menyiarkan gurauan April Fool itu.

Bagaimanpun, beliau juga kemudiannya mendakwa kenyataannya itu telah "disalaherti".

Malaysiakini pula tetap mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan ia bertujuan untuk menggalakkan perdebatan mengenai isu rasuah.

Manakala kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap malaysiakini kerana menyiarkan gurauan April Fool.