Umno akan merangka satu prosedur penghakiman untuk digunapakai oleh lembaga disiplin Umno dalam menangani kes politik wang membabitkan ahli parti bagi menghapuskan sebarang keraguan dan rasa tidak puas hati terhadap keputusan lembaga itu.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata buat masa ini lembaga disiplin tidak mempunyai prosedur penghakiman yang khusus dalam mengadili kes-kes yang dilaporkan kepadanya.

"Sekarang ini digunakan asas kebijaksanaan pihak jawatankuasa disiplin berasaskan pengalaman, kes yang diadu, maklumat yang diterima dan kes yang didengar. Daripada fakta yang ada, jawatankuasa buat keputusan," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti semalam telah membincangkan isu rasa tidak puas hati ahli parti terhadap keputusan lembaga disiplin dan justeru itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Jawatankuasa Perlembagaan mendraf satu prosedur penghakiman untuk digunapakai oleh lembaga tersebut.

Menurut laporan Bernama , Muhyiddin berkata, sehingga ini, Majlis Tertinggi tidak mengeluarkan sebarang bentuk prosedur kepada lembaga disiplin dalam mengendalikan sesuatu aduan.

Menurutnya, antara perkara yang akan diambil kira dalam draf prosedur itu ialah sama ada sesuatu kes yang hendak didengar oleh Lembaga Disiplin diserahkan dahulu kepada satu badan penyiasat.

Prosedur penghakiman

Juga dikaji ialah sama ada perlu sebuah badan menilai asas-asas tuduhan sebelum dibawa ke muka pengadilan, katanya.

"Apa yang saya sebutkan itu sebahagiannya telahpun dijalankan oleh lembaga disiplin tetapi oleh kerana ia tidak dijelaskan, ada pihak yang merasa keputusan yang dibuat oleh lembaga itu berat sebelah atau tidak memihak kepada tertuduh.

"Kita akan cuba sediakan rangka prosedur penghakiman kes supaya ahli parti tahu dan apabila lembaga disiplin menggunakan prosedur itu, tiada pihak yang akan mempertikaikan bahawa penghakiman itu tak adil dan sebagainya," katanya.

Antara yang tidak puashati ialah Ketua Umno Bahagian Kota Bahru, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Umno Lembaga Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil yang mempertikaikan keputusan lembaga itu mendapati mereka terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti tahun lalu.

Zaid dilepaskan dengan amaran tetapi Shahrir digantung keahlian selama tiga tahun ketua bahagian ketiga di Wilayah Persekutuan yang dikenakan hukuman tersebut kerana kesalahan politik wang.