Ezam dibicara kes hasutan di KL esok
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor, yang kini ditahan dua tahun di kem Kamunting, akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok untuk perbicaraan kes hasutan.
Isterinya Bahirah Tajul Aris memberitahu malaysiakini sebentar tadi, beliau dimaklumkan oleh peguam suaminya, Zainur Zakaria, berhubung perkara itu malam ini.
Bagaimanapun, kata Bahirah lagi, polis tidak menghubunginya bagi memaklumkan perpindahan Ezam itu.
Beliau tidak pasti sama ada Ezam telah dibawa dari Perak ke ibu kota petang ini. Bagaimanapun menurutnya, terdapat khabar angin yang menyebutkan aktivis Pemuda itu telah ditahan di balai polis Sentul, Kuala Lumpur.
Pada 13 Mac, Ezam didakwa di bawah seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 berhubung satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 4 Mac.
Dalam laporan muka depan akhbar itu, Ezam dikatakan "sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi setiap hari bagi menggulingkan kerajaan." Beliau bagaimanapun menafikan hasrat berbuat demikian keesokannya dalam Utusan Malaysia .
Pemimpin pembangkang itu dituduh "pada 3 Mac 2001, jam 2 petang bertempat di No 46-M, Jalan Chan Sow Lin, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kamu telah menyebutkan kepada Yusri Sahat, seorang pemberita Utusan Malaysia perkataan-perkataan yang menghasut iaitu: bahawa kamu menyatakan yang kamu mengaku akan mengadakan demonstrasi setiap hari, bukan setiap minggu, apabila tiba masa dan ketikanya.
"Bahawa kamu mengatakan demonstrasi jalanan akan hanya berhenti apabila pemimpin kerajaan yang ada digulingkan.
"Bahawa kamu mengatakan menggulingkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan adalah perkara biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi. Perkara itu tidak perlu dimomokkan dan kamu memang nak mengubah kerajaan."
Jika disabit kesalahan, Ezam boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Ezam pernah ditahan reman selama lapan hari bermula 5 Mac lalu, sehari sebelum sambutan perayaan Hari Raya Haji.
Perbicaraan itu akan didengar di depan hakim Augustine Paul jam 9 pagi.
Ezam dan lima lagi aktivis reformasi ditahan di kem Kamunting, Taiping sejak 2 Jun.

