Generasi baru dalam zaman perkembangan teknologi maklumat hari ini memandang kedepan tetapi tidak berminat menghayati sejarah, termasuk perjuangan Umno, dakwa Ketua Wanita parti itu hari ini.

"Era teknologi maklumat (IT) dan komunikasi ini mengajak generasi muda memandang jauh kedepan, dan mereka kerap kali tiada masa, atau tiada keinginan untuk menoleh kebelakang dan menghayati sejarah," kata Datuk Seri Rafidah Aziz.

Dalam ucapan bertema 'Umno di Persimpangan Jalan', beliau berkata ramai yang tidak mengenali sejarah Umno dan tidak memahami dasar-dasar kerajaan yang telah membawa faedah kepada sebahagian besar orang Melayu dan Bumiputera.

Umno, katanya lagi, akan meneruskan agenda Melayu pada masa depan jika mendapat sokongan kaum itu.

"Tetapi Umno tidak akan terus mendapat sokongan jika ada generasi baru Melayu dan Bumiputera yang tidak tahu perjuangan Umno, dan tidak dapat mengaitkan relevannya Umno dengan agenda Melayu dan Bumiputera," katanya lagi, ketika merasmikan mesyuarat tahunan pergerakan Wanita di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi.

"Ada di antara mereka (generasi muda) akan berkata bahawa sejarah telah berlaku, dan mengakui bahawa memang benar Umno telah berjasa. Tetapi mereka bertanya apa pula yang Umno akan lakukan pada masa akan datang - iaitu zaman generasi muda itu sendiri melihat diri mereka."

Menjadikan Umno relevan

Malah, menurutnya, terdapat di kalangan generasi muda itu yang mempersoalkan sama ada Umno masih lagi relevan.

"Jawapan kepada soalan ini mudah - iaitu Umno sebagai parti (yang) menaungi orang-orang Melayu dan Bumiputera masih dan akan tetap relevan," katanya.

Bagaimanapun untuk menjadikan parti itu relevan, cara Umno bertindak perlu sentiasa diubah suai, diperbaharui dan dikaji agar sesuai dengan semua keadaan, masa dan generasi muda parti itu, tambahnya.

"Inilah antara cabaran-cabaran yang dihadapi bersama oleh pergerakan Wanita Umno. Soal sama ada Umno atau Wanita 'relevan' atau tidak, adalah mengikut tanggapan mana-mana kelompok atau generasi ahli-ahli," katanya.

"Evolusi (perubahan perlahan-lahan) yang sewajarnya mesti berlaku dalam Umno, kedua-duanya dalam bentuk struktur dan organisasi dan hala tuju dan gerak kerja (parti)."

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan cadangan ke arah perubahan itu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan perasmian bersama pergerakan Pemuda dan Wanita, menyarankan ahli Umno agar menyesuaikan diri dengan majoriti pengundi yang memiliki nilai dan pegangan baru.

"Jika Umno gagal menyelami dan memahami perubahan ini, pendekatan Umno akan dilihat hambar dan gerak kerja Umno dipandang tidak bermaya. Wawasan Umno dianggap lapuk dan gagasan Umno disifatkan usang," katanya.

Generasi kini bijak

Tambahnya, generasi kini bijak membuat analisis secara objektif dan menilai jurang yang wujud antara janji-janji politik dan pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri juga mengingatkan, beberapa isu seperti keadilan, hak asasi, kebebasan bersuara, keutuhan kerajaan, ketelusan pengurusan, akauntabiliti, institusi perundangan dan masyarakat bertamadun perlu diberikan perhatian bagi menghadapi kumpulan sasaran ini.

Sementara itu, perwakilan Wanita dari Johor Aishah Mohd Arif, ketika perbahasan menyokong usul ucapan dasar Ketua Wanita itu, menyarankan ahli parti itu mendekatkan diri dengan remaja.

"Kita (ahli Umno) perlu mendekatkan remaja kepada Umno. Ini kerana ahli Umno perlu datang daripada pelbagai golongan. Sebabnya undi untuk pilihanraya 2004 datang daripada pelbagai golongan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, Wanita perlu menerima Puteri Umno dengan baik.

Liputan perhimpunan agung Umno