Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Universiti ambil langkah banteras pengaruh IS
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 10:10 AM
Dikemaskini: 6:15 AM

Universiti awam mengambil pelbagai langkah bagi mengelak penuntut daripada terjebak dengan kegiatan militan IS, termasuk melakukan pemantauan terhadap akaun media sosial mereka.

Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin berkata pemantauan itu adalah satu daripada pendekatan berkesan bagi membanteras penyalahgunaan media sosial bagi tujuan keganasan dan merekrut anggota.

"Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti memantau akaun sosial penuntut seperti Facebook, Twitter dan Instagram menerusi Jawatankuasa Khas Pemantauan Aktiviti atau Kegiatan Ekstremis dan Pelampau Agama yang baru kami tubuhkan.

"Nama-nama pelajar yang disyaki terlibat dalam kegiatan IS akan diserahkan kepada Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman untuk tindakan lanjut," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata terdapat sebilangan kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi IS.

Mohd Amin berkata UM bekerjasama rapat dengan polis dan akan memaklumkan kepada mereka sekiranya menerima laporan mengenai penuntut terbabit dalam kegiatan IS.

Katanya UM juga mendidik penuntut mengenai bahaya kegiatan IS.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata UUM menjalankan program penerangan mengenai ancaman dan bahaya IS.

"Program ini dimulakan semester lepas dan akan diteruskan kepada penuntut yang akan masuk hujung bulan ini.

"Walaupun setakat ini tiada penglibatan pelajar UUM dalam sebarang kegiatan militan, program sedemikian masih diberi keutamaan supaya penuntut universiti dapat membezakan antara erti sebenar 'IS' dan 'tuntutan agama' dari awal lagi," katanya.

Beliau berkata universiti tidak kompromi dalam menentang pengaruh IS.

"Jika pelajar kami didapati terbabit dalam kegiatan militan, ia akan dimaklumkan kepada polis," tegasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Datuk Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din pula berkata latihan yang membina patriotisme masih diberi keutamaan di UPNM.

"Setiap hari, semua penuntut akan menjalankan latihan patriotisme. Program penerangan konsep keselamatan negara dan ancaman IS turut diadakan.

"Pemantauan juga dilakukan dan jika ada di kalangan mereka yang cenderung ke arah kegiatan militan, maka dia akan diberi kaunseling dan akan disiasat pihak UPNM sendiri sebelum diserah kepada polis," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan kepakaran pengendalian senjata disalahgunakan dengan terlibat dalam kegiatan IS, beliau berkata bukan sahaja penuntut UPNM malah semua individu terdedah dengan militan dan ia bergantung kepada jati diri seseorang itu sendiri.

Setakat ini, kata Mohamed Fadzil, tiada penuntut UPNM terbabit dalam IS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS