Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin gagal batalkan dakwaan sabotaj kewangan

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal untuk membatalkan dakwaan pertuduhan sabotaj kewangan terhadap beliau.

Panel tiga anggota yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif telah menolak rayuannya.

Merit rayuan tidak didengar kerana mahkamah memutuskan bahawa pertuduhan itu telah pun ditangguhkan.

Ini dibuat sementara menunggu rayuan pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang memutuskan pertuduhan terhadap Khairuddin bukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) untuk didengar dan diputuskan.

Khairuddin dan Matthias Chang, bekas setiausaha akhbar kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj sistem kewangan negara.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu dengan membuat laporan mengenai 1MDB di lima buah negara antaranya Switzerland, United Kingdom dan Hong Kong.

Kedua-dua mereka berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika disabitkan kesalahan.

Pada 18 November 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan Khairuddin dan Chang dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Mereka dibebaskan dengan jaminan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan terhadap mereka bukanlah satu kesalahan berkaitan keselamatan dan tidak tertakluk di bawah SOSMA.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS