Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tamrin keluar Deklarasi Rakyat, tak sertai BERSATU
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 11:41 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Bekas anggota PAS yang juga anak bekas timbalan perdana menteri, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar hari ini mengumumkan beliau menarik diri daripada menjadi seketariat Deklarasi Rakyat.

Malah, bekas anggota parlimen Batu Berendam itu juga berkata, beliau tidak akan menyertai parti baru yang ditubuhkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Sukacita dimaklumkan setelah memikir dengan teliti, maka saya memutuskan tidak akan menyertai parti baru yang sedang diusahakan Muhyiddin.

"Menarik diri dari seketariat Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Keputusan ini adalah muktamad. Ia berkuatkuasa mulai hari ini," kata Tamrin dalam kenyataannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Tamrin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan terbarunya itu.

"Kenapa (saya tak mahu sertai parti baru dan tinggalkan seketariat Deklarasi Rakyat), saya tak akan bincang. Cukuplah setakat kenyataan ini sahaja," katanya.

Ditanya lagi apakah tindakannya selepas ini, Tamrin hanya berkata:

"Masih ada masa lagi. Kemudianlah kita bincang," ujarnya lagi.

Tamrin merupakan antara individu yang menjadi seketariat Deklarasi Rakyat.

Bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu sebelum ini bersama BN dan pernah menjadi anggota parlimen Batu Berendam dibawah parti itu selama 10 tahun.

Pada 2012, anak kedua Tun Ghafar Baba itu kemudiannya bersama PAS dan selepas tiga tahun, beliau meninggalkan parti Islam itu.

Keputusan untuk meninggalkan PAS didakwa kerana beliau dilaporkan mula tidak senang dengan parti Islam itu sejak kemelut pelantikan menteri besar Selangor yang menyaksikan pertembungan antara parti berkenaan dengan Pakatan Rakyat.

Lihat Komen
ADS