Terjemahan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menafikan yang beliau telah menyalahguna kuasanya untuk memberi tanah kepada beberapa syarikat swasta tanpa kelulusan majlis exco negeri itu.

Dalam laporan muka depan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, beliau mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman, membuat tuduhan tersebut kerana mempunyai kepentingan peribadinya sendiri.

Dalam wawancara eksklusif dengan malaysiakini Rabu lalu, Ahamd Bahari (foto) mendakwa Mohd Khir telah meluluskan pemberian 89 hektar tanah milik anak syarikat kerajaan negeri, Shah Alam Properties (SAP) Sdn Bhd itu, tanpa pengetahuan majlis tersebut.

Antara syarikat yang diberi tanah tersebut ialah Zimmun Sdn Bhd, Wardah Berkat Sdn Bhd and Untung Utama Sdn Bhd (20ha each), Alaf Delima Sdn Bhd (12ha) dan Maksak Selangor (6.4ha).

Menteri besar itu dikatakan menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan pengerusi SAP untuk memberi kelulusan tersebut.

Milik persendirian

Dalam laporan Oriental Daily tersebut, Mohd Khir menjelaskan bahawa tanah terbabit kini merupakan milik persendirian.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai sebab untuk mengambil balik tanah milik persendirian tersebut. Jika kita berbuat demikian, nanti kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah mematuhi semua prosedur dalam semua hal dan adalah tidak mudah bagi pemaju untuk mendapatkan tanah untuk projek pembangunan daripada MTES.

Menurut menteri besar itu lagi, MTES tidak dengan mudah meluluskan sebarang permohonan daripada pihak pemaju untuk mendapatkan tanah bagi tujuan pembangunan.

Malah, kata Mohd Khir, walaupun MTES meluluskan sesuatu projek, pihak pemaju berkenaan mesti mematuhi arahan-arahan daripada kerajaan negeri.

"Arahan-arahan tersebut termasuklah pihak pemaju mesti membina masjid, sekolah, rumah kos rendah, lot kedai di kawasan berkenaan.

"Pada masa ini, Selangor mempunyai tanah yang terhad. Oleh itu, kerajaan negeri mesti memastikan baki tanah yan ada digunakan secara optimum," katanya dalam laporan tersebut.

Menurut Mohd Khir, beliau tidak melanggar prosedur dalam meluluskan tanah tersebut.

Laporan itu juga memetiknya sebagai berkata beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak berhubung tuduhan tersebut kerana beliau mempunyai banyak lagi perkara penting yang perlu dilakukan, dengan mengutamakan perkhidmatan untuk rakyat.