Kes hasutan Ezam ditangguh 7 Jan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes hasutan bagi 'menggulingkan kerajaan' terhadap Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor kepada Januari.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes hasutan bagi 'menggulingkan kerajaan' terhadap Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor kepada Januari.
Penangguhan itu diputuskan selepas hakim Datuk Augustine Paul menerima permohonan itu daripada timbalan pendakwaraya Vong Poh Fah apabila mahkamah bersidang jam 9 pagi tadi. Hakim Datuk Augustine Paul mengumumkan tarikh baru 7 hingga 18 Januari kira-kira 20 minit kemudian.
Mahkamah juga diberitahu pihak pendakwa akan memanggil 12 saksi untuk perbicaraan itu.
Ezam didakwa di bawah seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 berhubung satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 4 Mac.
Dalam laporan muka depan akhbar itu, Ezam dikatakan 'sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi setiap hari bagi menggulingkan kerajaan'. Beliau bagaimanapun menafikan hasrat berbuat demikian keesokannya dalam Utusan Malaysia .
Pemimpin pembangkang itu dituduh: 'Pada 3 Mac 2001, jam 2 petang bertempat di No 46-M, Jalan Chan Sow Lin, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kamu telah menyebutkan kepada Yusri Sahat, seorang pemberita Utusan Malaysia perkataan-perkataan yang menghasut iaitu; bahawa kamu menyatakan yang kamu mengaku akan mengadakan demonstrasi setiap hari, bukan setiap minggu, apabila tiba masa dan ketikanya.
"Bahawa kamu mengatakan demonstrasi jalanan akan hanya berhenti apabila pemimpin kerajaan yang ada digulingkan.
"Bahawa kamu mengatakan untuk menggulingkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan adalah perkara biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi. Perkara itu tidak perlu dimomokkan dan kamu memang nak mengubah kerajaan."
Bukan penjenayah
Jika disabit kesalahan, Ezam boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Ezam diwakili oleh dua peguamnya, Sankara Nair dan Zainur Zakaria.
Beliau yang memakai kemeja biru berlengan panjang dibawa ke mahkamah dari kem Kamunting, Perak. Aktivis reformasi itu kelihatan sihat dan tenang. Turut hadir isterinya, Bahirah Tajul Aris, dan Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Pemuda itu ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bersama lima lagi aktivis reformasi yang lain, di kem itu sejak 2 Jun.
Dalam perkembangan lain Bahirah, bagi pihak isteri-isteri tahanan, menyerahkan satu memoradum bagi menuntut pembebasan suami mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum perasmian perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera pagi tadi.
"Mereka (tahanan ISA) bukan penjenayah, atau musuh negara. Sebaliknya mereka adalah warganegara yang ingin menyelamatkan wang rakyat daripada penyelewengan dan rasuah," memorandum itu dipetik. "Penahanan mereka tanpa didakwa dibicarakan di mahkamah terbuka adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan hak asasi manusia."
Ezam bersama Naib Presiden Keadilan Tian Chua, ahli jawatankuasa pusat parti itu Dr Badrul Amin Bahron, Saari Sungib, aktivis Pemuda Lokman Noor Adam dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais ditangkap antara 10 hingga 24 April lalu.
Foto terbaru Ezam , ehsan Harakahdaily.com

