Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata buku 'Hadharah Islamiah, bukan Islam Hadhari' tulisan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak patut diharamkan kerana ia memberikan rujukan lebih tepat dan betul mengenai Islam.

"Buku itu dibuat dengan merujuk kepada 50 buku lain sebelum ditulis dan diedarkan kepada umum," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di perkarangan pejabat PAS Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengadakan perbincangan sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk mengharamkan buku Hadharah Islamiah seperti yang dicadangkan seorang penyokong kerajaan di Dewan Undangan Negeri Terengganu Isnin lalu.

Menurut laporan Bernama , Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata jika benar buku itu dianggapnya bertentangan dengan Islam, maka Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit) patut bertanyakan Abdul Hadi di Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkan kepastian.

Nik Aziz sebaliknya berkata buku Islam Hadhari yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat untuk rujukan umum adalah tidak betul kerana apa yang dipaparkan dianggapnya tidak merujuk dengan tepat berhubung pelaksanaan Islam yang sebenar di negara ini.

Menurut laporan Berita Harian Selasa lalu, Khazan ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meminta kerajaan supaya mengharamkan buku tulisan Abdul Hadi kerana didakwanya mencabar dan menyanggahi Islam Hadhari.

Adun BN Batu Rakit itu dilaporkan berkata, penulis buku tersebut perlu diberikan hukuman, selain buku itu ditarik balik daripada pasaran.

Didakwa boleh rosak akidah

Katanya, Islam Hadhari adalah ajaran tuntutan agama kerana dalam ajaran Islam terdapat perkara yang tidak akan berubah sampai bila-bila dan ada perkara yang berubah mengikut keadaan semasa.

Seorang lagi wakil rakyat BN, Ahmad Kamal Abdullah (Sura) turut menggesa kerajaan supaya mengharamkan pengedaran dan penjualan buku tulisan Abdul Hadi kerana mendakwa ia boleh mengelirukan dan merosakkan akidah umat Islam.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas, terutama terhadap wakil rakyat pembangkang yang dianggap cuba menyeleweng dan menolak pendekatan Islam Hadhari.

"Jika sebelum ini kerajaan boleh mengharamkan buku yang merosakkan akidah umat Islam, mengapa pula buku ditulis Adun Rhu Rendang (Abdul Hadi) dibiarkan diedarkan dan dijual secara terbuka," katanya.

Ahmad Kamal yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terenggganu itu berkata, jika dibiarkan, ia boleh mengeliru serta merosakkan akidah umat Islam di seluruh negara.

Malah, katanya, buku yang ditulis Abdul Hadi itu bukan saja bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, malah percanggahan pendapat juga berlaku antara Abdul Hadi dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Pas melalui ucapan sekapur sirih yang disiarkan dalam buku itu juga mengakui Islam dan pembangunan tidak boleh dipisahkan dan Islam dari awal hingga akhir bersifat bertamadun.

Gesa jangan benar ceramah

"Kerajaan melalui agensi penguatkuasanya diminta mengharamkan pengedaran dan penjualan buku yang secara terang-terangan menentang hasrat murni pendekatan Islam Hadhari," katanya.

Ahmad Kamal berkata, kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri diminta tidak mengeluarkan permit kepada pihak yang cuba mengadakan ceramah yang dianggap menentang konsep Islam Hadhari.

Manakala Umno online pula melaporkan Exco Islam Hadhari Terengganu, Ustaz Wan Mohd Wan Hassan sebagai berkata, beliau akan menyerahkannya kepada jawatankuasa Fatwa Negeri untuk membuat penilaian kerana mendakwa kandungannya banyak berunsur fitnah yang berniat jahat.

Beliau dilaporkan mendakwa bahawa kandungan buku itu "lebih teruk dan berbahaya daripada amanatnya mengkafirkan kerajaan dan orang Islam Umno yang pernah dibuat dalam tahun 1981".

Buku Hadharah Islamiah Bukan Islam Hadhari yang dilancarkan pada 28 Januari lalu mendakwa konsep Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Islam bentuk baru.

Menurut buku tersebut, Islam Hadhari adalah antara perkara yang boleh dimasukkan ke dalam perbuatan bidaah dan boleh menyesatkan kerana ia boleh dikira mewujudkan Islam dalam bentuk baru dengan hanya menggunakan perkataan Islam, dan beramal dengan sebahagian ajaran Islam, dan mengingkari sebahagian yang lain.

Dalam masa yang sama, menurut buku itu lagi, Islam Hadhari dicemari dengan perkara-perkara yang menyanggah ajaran Islam dalam mengendalikan urusan politik dan pentadbiran.