Terjemahan Mahkamah Tinggi akan mendengar mulai Isnin ini, saman yang difailkan tujuh tahun lalu oleh sekumpulan aktivis hak asasi manusia terhadap kerajaan berhubung kejadian keganasan yang berlaku sewaktu berlangsungnya persidangan antarabangsa mengenai Timur Timur pada tahun 1996.

Seramai 36 aktivis berkenaan menyaman kerajaan, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan dua pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Ismail Che Rose - kerana cuai dan tahanan tidak sah.

Saman tersebut yang dijadualkan didengar Jun lalu, telah ditangguhkan oleh Hakim Azmel Ma'amor kerana ketika itu mahkamah perlu mendengar banyak kes petisyen yang mencabar keputusan pilihanraya umum 2004.

Para aktivis berkenaan ditahan pada hari perasmian Persidangan Kedua Asia Pasifik mengenai Timur-Timur (Apcet II) yang diadakan pada 9 November 1996 bertempat di Hotel Asia di Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut kesinambungan daripada persidangan Apcet 1 pada 1994 di Manila bertujuan membincangkan isu-isu pelanggaran hak asasi manusia di Timur Timur dan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia.

Bertindak ganas

Ketika persidangan itu hendak dimulakan, kumpulan seramai 400 anggota Barisan Bertindak Rakyat Malaysia, yang diketuai oleh Pemuda Umno, telah merempuh masuk ke tempat persidangan tersebut.

Mereka bertindak ganas dengan memecah pintu dewan persidangan, membalikkan meja, membaling kerusi dan para pesertanya diserang secara lisan dan fizikal.

Manakala pihak polis, yang biasanya pantas bertindak untuk meleraikan sebarang perhimpunan haram, hanya tiba sejam kemudian untuk mengawal keadaan tersebut.

Seramai 59 peserta dan wartawan yang membuat liputan persidangan itu telah ditahan sehingga enam hari dalam lokap polis. Seramai 40 peserta dari luar negara pula dihantar pulang serta merta.

Manakala beberapa pemimpin Pemuda Umno turut ditahan, tetapi mereka telah dibebaskan pada hari yang sama.

Antara yang ditahan ketika itu ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja, Syed Shahrir Syed Mohamud; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali; Naib Presidennya, Dr Sanusi Osman, and Pengetua Kolej New Era, Dr Kua Kia Soong.

Turut ditahan ialah sejumlah wartawan asing dan tempatan, termasuk pengasas malaysiakini Steven Gan dan Premesh Chandran yang ketika itu bekerja dengan akhbar The Sun.

Didapati bersalah

Empat orang pemimpin Pemuda Umno, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan merusuh di tempat persidangan Apcet II. Mereka mengaku bersalah dan dihukum denda.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, 36 plantif terbabit berkata pihak polis telah gagal untuk menangani dengan segera tindakan keganasan oleh kumpulan yang diketuai Pemuda Umno itu dan oleh itu telah cuai dalam memastikan keselamatan peserta persidangan tersebut.

Mereka juga mempersoalkan tindakan pihak polis menahan mereka.

Para aktivis berkenaan juga mendakwa, perintah tahanan yang dibuat terhadap mereka adalah 'tidak sempurna, tidak sah dan/atau tidak mengikut Kod Prosedur Jenayah dan oleh itu tidak sah di segi undang-undang.

Selepas dibebaskan daripada tahanan polis, peserta persidangan tersebut tidak pula didakwa melanggar sebarang undang-undang.