Paling Popular
Terkini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau dimaklumkan perhimpunan #TangkapMO1 yang dianjurkan gerakan pelajar semalam 'dirampas' (hijack) parti pembangkang.

Ekoran itu, Hishammuddin berkata, berdasarkan dakwaan itu orang ramai berpeluang menilai sendiri sama ada pembangkang benar-benar ikhlas atau sebaliknya dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

"Saya difahamkan mereka (gerakan pelajar) rasa kecewa apabila gerakan mereka di-hijack oleh pembangkang. Ini semua petanda.

"Lama kelamaan, masyarakat sendiri akan dapat menilai sama ada mereka (pembangkang) ini ikhlas atau tidak memperjuangkan sesuatu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bukit Katil di Melaka hari ini.

Selain itu, naib presiden Umno itu turut memberitahu, beliau yang pernah berdepan dengan perhimpunan BERSIH 1 hingga 4 tetap bersyukur apabila tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

"Apa yang dihadapi semalam - alhamdulillah - tak ada insiden yang tak diingini berlaku dan tiada perkara yang tak diingini.

"Ia tidak boleh dieksploitasi (oleh pihak tertentu seperti media antarabangsa," katanya lagi.

Semalam, lebih 1,000 orang hadir pada perhimpunan #TangkapMO1 yang dianjurkan gerakan mahasiswa yang menjadikan Dataran Merdeka sebagai sasaran untuk mereka berkumpul.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke serta beberapa anggota Dewan Undangan Negeri serta anggota parlimen pembangkang.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awalnya dijadualkan akan menghadiri perhimpunan itu namun membatalkannya pada saat akhir kerana mempunyai urusan.

Lihat Komen
ADS