'Dagangan M'sia-AS diyakini tumbuh positif'
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sini, Muhd Shahrulmiza Zakaria, yakin terhadap pedagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (US).
Dagangan dua hala terus mencatatkan trajektori pertumbuhan, merekodkan RM67.45 bilion sepanjang enam bulan pertama 2016 dan melonjak 12.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
"Ya, saya sangat yakin ke atas perdagangan walaupun saya perlu bersikap realistik bahawa ia akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dunia serta impak ke atas ekonomi US.
"Setakat ini kita sudah mencatat pertumbuhan yang agak mengagumkan dari segi eksport walaupun ada petunjuk mengenai cabaran mendatang," katanya kepada Bernama di New York, hari ini.
Sebagai pasaran terbesar dunia, dari segi nilai, arena busana anggun, US merupakan destinasi menarik bagi pembekal pakaian dari seluruh dunia.
Shahrulmiza berkata beliau sangat berminat untuk menarik pelawat perdagangan dan pembeli Amerika untuk mengunjungi Minggu Fesyen Malaysia (MFW), edisi ketiga berturut-turut di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di Kuala Lumpur dari 2 hingga 5 Nov, 2016.
Acara itu, anjuran bersama Matrade dan STYLO International, akan mengetengahkan koleki fesyen dan gaya hidup Malaysia dan ASEAN kepada pembeli dan pedagang global.
Eksport fesyen dan produk gaya hidup Malaysia berjumlah RM36.91 bilion pada 2015, meningkat 13.2 peratus berbanding RM32.61 bilion pada 2014.
Eksport dalam sektor ini kebanyakannya ke US, Jepun, China, Singapura, Turki, Indonesia, India dan Thailand.
Malaysia juga semakin penting dalam sektor kereta dan mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penting penyumberan alat ganti dan komponen.
Penampilan pempamer Malaysia kini lebih ketara dalam kebanyakan pertunjukan penting seperti Automechanika di Frankfurt, Jerman dan Automotive Manufacturing Meetings (AMM) di Detroit, US.
Satu kontingen 18 pempamer alat ganti dan komponen kereta Malaysia akan menyertai AMM 2016 tahun ini, selain menyertai sesi rantaian dengan perniagaan dan persatuan perniagaan tempatan.
"AMM di Detroit dianjurkan oleh tiga nama besar -- Chrysler, Ford dan General Motors.
"Matrade New York menganjurkan penyertaan pempamer Malaysia pada AMM, yang akan berlangsung di Detroit dari 15-17 Nov, 2016," kata Shahrulmiza.
Beliau berkata pejabatnya di sini menyasarkan pengeluar peralatan asal dan pembekal tahap 1 dan 2 yang merupakan tulang belakang rangkaian bekalan untuk industri itu.
- Bernama

