Peniaga permaidani Deepak Jaikishan hari ini berjaya membatalkan saman RM1.9 juta yang difailkan oleh A Santamil Selvi, balu kepada penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam kerana menyebabkan mereka hidup dalam 'buangan' selama lima tahun di India.

Mahkamah persekutuan dalam keputusannya membenarkan rayuan Deepak bahawa perkara itu tidak perlu didengar di mahkamah tinggi.

Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan rayuan Deepak dan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Santamil sebelum ini memfailkan rayuan selepas saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan enam yang lain ditolak mahkamah.

Ketika prosiding pada hari ini, pendaftar memberitahu panel bahawa Deepak telah melepaskan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah Jumaat lepas dan akan mewakili dirinya sendiri hari ini.

Bagaimanapun, Shafee yang turut hadir di mahkamah, menjelaskan beliau telah dilantik semula.

Santamil dan tiga anaknya pada 2014 memfailkan saman RM1.9 juta bagi ganti rugi terhadap Deepak dan tujuh yang lain atas alasan konspirasi yang menyebabkan mereka hidup dalam buangan.

Tujuh yang disenaraikan ialah Najib, Rosmah, adik-beradik Najib, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Nazim, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, peguam M Arulampalam dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Santamil dan keluarganya mendakwa pembuangan mereka disebabkan oleh akaun berkanun pertama Balasubramaniam yang dibuat pada Julai 2008, di mana penyiasat persendirian itu menyatakan bahawa Najib mengenali penterjemah Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Penyiasat persendirian itu menarik balik SD pertama keesokan harinya dan menandatangani SD kedua sebelum menghilangkan diri bersama keluarganya.

Mahkamah tinggi mengenepikan saman Selvi dan anak-anaknya terhadap semua lapan individu itu.

Namun Deepak berkata peguam yang muncul di mahkamah tinggi tidak mewakili dirinya dan saman oleh Santamil itu diteruskan.

[Baca berita penuh]