Pendidikan dalam masyarakat berbilang kaum mesti diselesaikan melalui perundingan secara demokratik dan tidak boleh dipaksa oleh kerajaan. Langkah memaksa projek itu boleh menimbulkan perpecahan, dakwa sebuah parti pembangkang.

"Sekolah Wawasan dipaksakan dari atas tanpa rundingan dengan rakyat dan pertubuhan pendidikan sehingga mereka mengesyaki ada agenda tersembunyi (daripada kerajaan) untuk merampas hak asasi rakyat," jelas Ketua Biro Pendidikan Barisan Alternatif, Dr Syed Husin Ali kepada malaysiakini .

Beliau yang juga Presiden PRM berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan selama tiga jam dengan pertubuhan utama pendidikan Cina, Dong Jiao Zong dua hari lalu.

Malaysiakini pernah melaporkan kenyataan editor sebuah majalah berbahasa Tamil Semparthi , C Manyam yang menegur Kementerian Pendidikan kerana didakwa tidak membincangkan projek sekolah itu dengan tokoh-tokoh pendidikan kaum itu [[#1]Tamil schools join Vision School fray[/#], Nov 18].

Kementerian mengadakan dialog berhubung projek Sekolah Wawasan itu dengan MCA, Gerakan, SUPP dan Gabungan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (FCAM).

Seorang pemimpin Dong Zong, Bock Tai Hee pula dilaporkan berkata lima sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK) yang ditawarkan menyertai projek Sekolah Wawasan tidak diberikan pilihan. [[#1]Vision School: It's more than five[/#], Nov 14].

Dua buah sekolah terbabit, SJK (C) Central Site di Segamat dan SJK (C) Ladang Hillside di Seremban, secara terbuka menolak tawaran kementerian itu. Sementara tiga buah sekolah lagi, SJK (C) Eng Ling di Lumut, SJK (C) Wai Sin di Parit Buntar dan SJK (C) Soon Jian di Alor Setar, masih belum membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun penduduk dan ibu bapa di sekolah-sekolah di Lumut dan Parit Buntar, Perak membantah projek tersebut, kata Bock lagi berdasarkan maklumat yang dikumpul ketika sesi dialog pertubuhan itu dengan penduduk di dua tempat itu.

Dr Syed Ali menjelaskan perpaduan nasional tidak boleh dicapai melalui Sekolah Wawasan sahaja tetapi perbezaan serta pertentangan kaum dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya harus dikurangkan.

'Tiada paksaan'

BA dalam manifestonya menegaskan usaha berterusan perlu diwujudkan untuk perpaduan, termasuklah memperkenalkan budaya, tradisi, seni dan nilai pelbagai kaum di negara ini, kata pemimpin pembangkang itu lagi.

Beliau urut mencadangkan penubuhan 'Majlis Hubungan Kaum' yang bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk menyelesaikan masalah yang bersifat perkauman.

Dr Syed Ali turut mendakwa isu Sekolah Wawasan sengaja ditimbulkan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada masalah politik dan ekonomi yang sedang melanda negara ini.

Kementerian Pendidikan beberapa hari dalam minggu ini mengeluarkan kenyataan bahawa Sekolah Wawasan tidak dipaksa kepada sekolah-sekolah terbabit. [[#]Tiada paksaan laksana Sekolah Wawasan[/#], Nov 21]