Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dakwa RM4 bilion dalam akaun Najib, Muhyiddin bankrap isu'
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 11:51 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Menteri Kabinet Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin "bankrap isu" apabila mendakwa perdana menteri mempunyai RM1 bilion dalam akaun peribadinya sebelum RM2.6 bilion dilaporkan secara meluas.

"Ia kelihatan seperti Muhyiddin bankrap isu dan itulah sebabnya dia perlu terus bercakap mengenai isu lama yang sama yang tidak lagi menarik minat kebanyakan rakyat Malaysia.

"Hakikatnya bahawa jika pembangkang tidak memainkan isu lama yang sama maka mereka tiada apa-apa lagi untuk digunakan," kata Salleh dalam blognya hari ini.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata Muhyiddin perlu sedar bahawa isu dan perkara-perkara berkaitan sumbangan 1MDB bukan instrumen yang boleh menggulingkan Datuk Seri Najib Razak.

"Jika benar, Najib telah keluar daripada pejabat sekarang dan BN tidak akan menunjukkan prestasi yang baik pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Bila Muhyiddin akan menerima hakikat bahawa hal 1MDB dan derma dari Timur Tengah telah diperjelaskan lebih daripada sekali dan kini merupakan perkara yang telah ditutup?," soalnya.

Muhyiddin sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada parti barunya (Parti Bersatu Pribumi Malaysia) dan bersedia untuk pilihan raya umum akan datang, kata Salleh.

"Seperti yang ada sekarang kita tidak tahu sama ada Muhyiddin boleh menggerakkan tenteranya untuk pilihan raya akan datang dan mencabar Umno dan BN," katanya.

Muhyiddin pada Sabtu lalu berkata beliau mengetahui mengenai deposit ke akaun Najib selepas peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail berkongsi maklumat dengannya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata dalam satu ceramah di Kelantan bahawa beliau "hampir pengsan" selepas melihat angka-angka dalam akaun bank peribadi Najib.

Lihat Komen
ADS