Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diperli 'patuh syariah', pegawai MB kata tugu banjir ditaja
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 2:59 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Pejabat Menteri Besar Kelantan menjelaskan pembinaan tugu peringatan banjir Kuala Krai (TPBKK), yang mengundang kritikan, bukan dibiayai oleh kerajaan negeri.

Sebaliknya, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Mohd Asri Mat Daud berkata keseluruhan kos ditaja oleh Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA).

“Pembinaan TPBKK langsung tidak menggunakan dana daripada kerajaan negeri sebagaimana dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan rakyat yang disebar melalui media sosial.

Beliau juga berkata kos keseluruhan pembinaan itu sebanyak RM60,000, bukan RM80,000 seperti didakwa.

“Seterusnya Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Majlis Daerah Kuala Krai menjadi pelaksana bagi pembinaan TPBKK tersebut,” kata beliau di Facebook miliknya.

Pengguna media sosial turut mempertikai kos pembinaan tugu itu yang menurut mereka boleh menampung pembinaan dua buah rumah kos rendah.

"Apalah nasib mangsa banjir, kerajaan tak buat rumah untuk mangsa banjir tapi buat tugu untuk peringati banjir," tulis alah seorang pengguna Facebook dengan menggunakan nama Ayi Prop.

Manakala pengguna Facebook Ahmad Syihan Ismail pula menulis penuh sinis, bahawa perasmian tugu “patuh syariah” itu sangat Islamis kerana wau pada binaan itu mengadap kiblat.

"Ada segi pentagon melambangkan rukun Islam.

"Yang lagi Islamis harganya RM80,000 sempena banjir Kelantan.

"Baru dua tahun Kelantan ditimpa musibah banjir, pembaziran sangat melampau-lampau," tulisnya.

Menjelaskan lanjut, Mohd Asri berkata penyebaran maklumat tidak benar berkaitan perkara itu adalah “tohmahan berat” kepada pemimpin kerajaan negeri.

Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merasmikan Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai di Tapak Monumen Banjir, berhadapan Stesen Caltex Guchil, Kuala Krai.

"Pembinaan TPBKK ini selain ia menjadi mercu tanda bagi mengenangkan sejarah terjadinya bah kuning, ia juga suatu manifestasi ucapan terima kasih kepada semua agensi, NGO, Badan Korporat, mahupun orang perseorangan yang telah membantu mangsa bah kuning," kata Mohd Asri.

Banjir besar itu melanda pada Mac lalu.

Bagaimanapun, lebih setahun, masih terdapat mangsa dikatakan yang tinggal di dalam khemah.

Lihat Komen
ADS