Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rafizi: Adakah Johari mahu malukan PM?
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 3:13 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata kenyataan seorang menteri mengenai projek loji dandang wap di Kerteh Terengganu mungkin 'memerangkap' dan memalukan perdana menteri.

Kata Rafizi apabila Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani menimbulkan kembali isu pengurusan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan keengganan kerajaan campur tangan membantu sekumpulan kontraktor bumiputera terlibat, ia secara tidak langsung mengaibkan Datuk Seri Najib Razak.

"Untuk mendapat latar belakang penuh mengenai isu ini, saya rujuk kepada lapan kenyataan media yang saya buat dari 15 April hingga 18 Jun 2014 untuk mendedahkan bagaimana Datuk Seri Najib campur tangan dalam pertimbangan pemberian geran R&D untuk membiayai projek komersil berkenaan.

"Saya ingin mengingatkan Datuk Johari bahawa Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan surat bertarikh 21 November 2013 kepada Datuk Dr Ewon Ebin (ketika itu menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Mosti) dengan satu minit tulisan tangan Najib sendiri meminta supaya MOSTI mempertimbangkan permohonan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek yang diusahakan oleh NSE Resources Sdn Bhd (NSE).

"Pada 21 Januari 2014, menteri mengeluarkan surat kepada NSE menyatakan kelulusan pada prinsipnya untuk memberikan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek komersil tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Johari dilaporkan berkata tidak adil untuk meminta keajaan menggunakan wang pembayar cukai bagi menyelesaikan tuntutan 16 kontraktor yang mendakwa dijanjikan bayaran RM26 juta bagi kerja dilakukan untuk projek loji berkenaan.

"Ini wang awam, wang anda, wang saya. Kita pembayar cukai, kita kena melindungi negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Dua cara PM boleh bantu

Loji di Kerteh itu dibangunkan sebuah syarikat swasta pada 2014 dan kerajaan - melalui Malaysian Venture Capital Management Bhd (Mavcap) - memiliki saham minoritu 25.8 peratus.

Kata Johari BiotechCorp juga meminjamkan RM63 juta untuk perniagaannya.

"Itu saja kaitannya. Keseluruhan (projek) itu diuruskan (pemegang saham majoriti syarikat itu)," katanya.

Johari kemudian memberitahu Malaysiakini beliau sudah menyatakan fakta yang ada dan akan terus melakukan apa yang perlu untuk kerajaan.

"Sebagai pembangkang dia (Rafizi) berhak berkata apa yang dia mahu. Saya akan terus buat apa yang betul untuk kerajaan," katanya.

Johari yang juga anggota parlimen Titiwangsa kemudian menasihati kontraktor terbabit membawa syarikat berkenaan ke mahkamah jika masih tidak berpuas hati dengan isu berkenaan.

Rafizi berkata dia pernah membangkitkan isu berkenaan selama berbulan-bulan pada 2014 kerana mendapati ada campur tangan perdana menteri.

"Oleh sebab itulah, kenyataan Johari semalam memerangkap Najib kerana ia menimbulkan kembali isu pengurusan geran R&D yang terdedah kepada penyelewengan akibat campur tangan pihak lain.

"Tindakan Najib membiarkan kontraktor bumiputera ini terkontang-kanting hingga ada yang dikejar along sangat tidak berperikemanusiaan kerana mereka ini memulakan kerja berdasarkan tindakan perdana menteri yang memberi isyarat bersetuju memberikan geran R&D RM100 juta itu.

"Malahan pentadbiran beliau secara rasmi mengesahkan perkara itu dan logiklah kontraktor-kontraktor ini menyempurnakan kerja-kerja yang diberikan kepada mereka," katanya.

Justeru Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan mencadangkan dua cara Najib boleh membantu kontraktor terbabit.

Pertama kata Rafizi perdana menteri menggunakan gaji dan simpanannya untuk melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor terbabit.

"Atau menghubungi penderma-penderma beliau untuk mengumpul jumlah yang diperlukan bagi melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor itu kerana Najib mempunyai ramai kenalan yang pemurah sehingga pernah menderma RM2.6 bilion," katanya secara sinis.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS