Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: Kabinet belum bincang hadkan kuasa Agong
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 3:30 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Kabinet masih belum membincangkan cadangan mengehadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan kelulusan undang-undang baru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Tidak ada perbincangan kabinet lagi. Saya hanya beritahu pemberita bahawa apa-apa perubahan kepada perlembagaan perlu dibawa ke kabinet untuk dibincangkan, jika terdapat keperluan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Awal hari ini, The Star melaporkan bahawa Azalina yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang, berkata kabinet terbuka kepada perbincangan untuk mengkaji semula kuasa Agong sebelum akta baru itu berkuat kuasa.

"Kita tidak mahu kerajaan dilihat sebagai kerajaan yang 'On off'. Saya rasa ini tidak konsisten.

"Tidak adil untuk mengatakan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengikut perlembagaan apabila ia adalah mengikut situasi yang dibenarkan oleh perlembagaan," katanya semalam.

Pada tahun 1994, kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir Mohamad meluluskan pindaan perlembagaan untuk membenarkan mana-mana undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Negara untuk menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari.

Ini tidak mengira sama ada Agong memberikan perkenan atau sebaliknya.

Mahathir pada Khamis lalu memohon maaf kerana pernah bertindak mengekang kuasa Agong hingga menjadi sebab akta kontroversi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa tanpa perkenan diraja.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta rang undang-undang itu diperhalusi, namun ia tidak berlaku.

Menurut warta negara, Rang Undang-undang MKN secara automatik diperkenankan pada hari berikutnya pada 18 Februari seperti pindaan yang dilakukan Mahathir.

Rang undang-undang itu telah diwartakan menjadi undang-undang pada bulan Jun dan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Akta MKN memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan zon keselamatan yang membolehkan pasukan keselamatan mengambil alih sesuatu kawasan.

Pengkritik berkata kuasa itu serupa dengan mengisytiharkan darurat yang hanya boleh dilakukan Yang di-Pertuan Agong.

Lihat Komen
ADS