Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PIBG: Teliti reka bentuk sekolah pelajar jatuh tingkat tiga

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu pihak kementerian pendidikan mengambil kira aspek keselamatan ekoran insiden pelajar maut selepas terjatuh daripada tingkat tiga sekolahnya di Putrajaya semalam.

Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, penelitian mengenai ciri keselamatan dan reka bentuk sekolah perlu dibuat bukan sahaja di Putrajaya tetapi melibatkan semua sekolah di negara ini.

“Kita tidak mahu disebabkan kita mahu mengurangkan kos ataupun mahu berhemah kita lupa atau sengaja untuk tidak mengambil kira isu keselamatan.

“Bagi saya isu keselamatan tak boleh ditolak ansur khususnya aspek pembangunan dan reka bentuk sekolah,” tegas Mohamad Ali.

Kementerian Pendidikan semalam dilapor akan meneliti semula reka bentuk semua sekolah sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya termasuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan bangunan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata reka bentuk sekolah di Putrajaya berlainan dengan sekolah konvensional oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dibuat berdasarkan reka bentuk Putrajaya Holdings (PjH).

“Kita menyambut baik cadangan tersebut, barangkali ini satu tindakan yang perlu dilakukan segera oleh pihak kementerian dan Perbadanan Putrajaya bagi memastikan isu keselamatan pelajar dan warga sekolah khasnya,” kata Mohd Ali kepada Malaysiakini.

Tambahnya, Perbadanan Putrajaya tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana kementerian pendidikan turut bertanggungjawab mengenai aspek reka bentuk bangunan sekolah.

“Perbadanan barangkali pihak yang meluluskan dan melaksanakan pelan asal yang diterima oleh kementerian.

"Jadi untuk menyalahkan 100 peratus PjH tidak wajarlah,” katanya.

Semalam, pelajar SMK Putrajaya Presint 9 (2), Azim Hakimi, 15, dilapor maut selepas terjatuh daripada tingkat tiga bangunan sekolah itu kira-kira jam 9.40 pagi.

Azim dilaporkan cuba mengambil beg rakannya yang dibuang oleh rakan lain di luar tingkap kelasnya, namun gagal mengimbangi diri lalu terjatuh.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas pihak Perbadanan Putrajaya.

Lihat Komen
ADS