Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tak wajar hina Harussani, tapi dia tak cermat'
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 4:14 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Selepas Pemuda PAS Perak, seorang ulama muda PKR pula tampil menolak penghinaan terhadap Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melalui sebuah anugerah negatif.

Bagaimanapun, berbeza dengan sayap negeri parti Islam itu, Ketua Biro Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin (gambar) berpendapat ia sebenarnya boleh dielak jika Harussani lebih cermat memilih hadis.

Katanya, hadis dipetik Harussani bahawa isteri mesti sedia bersetubuh dengan suami walaupun di atas belakang unta, sebenarnya bertaraf daif.

“Ini kerana, dalam sanad hadis ini ada pencerita hadis bernama Husain bin Qais.

“Ulama hadis seperti Ibn Hajar dan al-Bukhari tidak menerima hadis yang diriwayatkan dari pencerita hadis bernama Husain bin Qais.

“Sebagai mufti, Tan Sri Harussani sewajarnya cermat menyatakan sesuatu hadis, agar tidak memberikan implikasi buruk pada masyarakat dalam melihat Islam, seperti dilihat buruk pada imej Islam dan wujudkan kepercayaan bersetubuh antara suami dan isteri dalam kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, graduan Universiti Al-Azhar jurusan syariah Islamiyyah itu berkata sebagai seorang manusia, Harussani tidak wajar dihina atas kesalahan itu.

“Namun, disebabkan tindakan mufti sendiri yang tidak cermat, agak sukar untuk menolak dari terjadinya anugerah "Aiyoh Wat Lah" itu.

“Pada saya, jika mufti lebih cermat sejak dari awal, sudah pasti anugerah sebegini tidak akan berlaku.”

Gabungan NGO Wanita Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) kelmarin mengisytiharkan Harussani sebagai pemenang anugerah 'menghina intelektual'.

Anugerah terhadap mufti kanan itu diberi susulan kenyataannya pada April tahun lalu bahawa tiada istilah rogol dalam perkahwinan dan isteri mesti taat pada permintaan seks suami jika tidak uzur, sakit atau bersalin.

Katanya, Nabi Muhammad juga berkata isteri mesti patuh walaupun di atas belakang unta.

Harussani setakat ini belum dilapor mengeluarkan sebarang kenyataan dalam isu itu.

Lihat Komen
ADS