Umno Ktan cadang senarai calon p'raya dua tahun lebih awal
Badan Perhubungan Umno Kelantan bercadang menyenaraikan calon-calonnya bagi pilihanraya umum akan datang sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal bagi membolehkan orang ramai mengenali dan menilai mereka ini.
Badan Perhubungan Umno Kelantan bercadang menyenaraikan calon-calonnya bagi pilihanraya umum akan datang sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal bagi membolehkan orang ramai mengenali dan menilai mereka ini.
Pengerusinya Datuk Annuar Musa berkata pendekatan itu bertujuan memberi penekanan kepada usaha membolehkan Umno dan Barisan Nasional menewaskan PAS bagi membentuk kerajaan negeri.
"Walaupun senarai calon terbabit tidak diumumkan secara rasmi, dengan pendekatan ini mereka boleh merangka program awal mendekati pengundi sebelum usaha dan kerja mereka dinilai pucuk pimpinan dalam tempoh tertentu," katanya kepada pemberita di Kota Bharu malam tadi.
Menurut laporan Bernama , Annuar berkata, pendekatan itu bertujuan memberi penekanan kepada usaha membolehkan Umno dan Barisan Nasional menewaskan PAS bagi membentuk kerajaan negeri.
"Kita memerlukan pendekatan yang berbeza bagi mencapai matlamat mengikut acuan Kelantan kerana situasi di negeri ini agak berbeza berbanding negeri-negeri lain," katanya.
Annuar berkata rakyat Kelantan perlukan perubahan dan Umno akan memastikan semua usaha yang dibuat dapat memenuhi hasrat mereka.
Proaktif dan mesra rakyat
Katanya beliau akan memastikan beberapa program utama, termasuk pembinaan lebuh raya dan industri berasaskan marin dan hub halal di Tok Bali, akan menjadi kenyataan.
"Dengan ini, Umno Kelantan dapat menyakinkan kerajaan Pusat bahawa kami mempunyai dasar yang jelas, bukan sahaja mesra rakyat tetapi menaruh simpati dan proaktif bagi menjadikan Kelantan sebuah negeri yang maju dan makmur menjelang 2015," katanya.
Beliau juga berkata Konvensyen Kemajuan Kelantan hujung bulan ini merupakan langkah besar pertama ke arah menjadikan Kelantan sebuah negeri yang progresif.
Peserta konvensyen dijangka membincangkan soal agama, pendidikan, ekonomi dan keusahawanan serta pembangunan wanita dan keluarga.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual menutup konvensyen dua hari itu pada 30 April.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.