Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan penganjur Anugerah Aiyoh Wat Lah! yang dianggap tidak bertamadun serta menghina Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad berkata laporan itu dibuat supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak dan tidak mengulanginya lagi di masa depan.

Katanya, hanya kerana Tan Sri Harussani Zakaria memberi pandangan berdasarkan hadis nabi penganjur majlis itu memberikan anugerah yang tidak sepatutnya kepada mufti Perak itu.

"Ini satu penghinaan sangat biadab oleh penganjur ke atas institusi agama Islam di negara ini," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Kamaruzaman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 29 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan Harussani 'memenangi' anugerah kategori "menghina intelektual" dalam majlis yang menilai kenyataan-kenyataan dianggap negatif, anjuran sebuah gabungan hak-hak wanita.

Harussani diberikan Anugerah Aiyoh Wat Lah! itu susulan kenyataannya tahun lalu bahawa tiada konsep rogol dalam perkahwinan Islam.

Beliau mengetepikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, walaupun mempunyai dua pencalonan dalam kategori sama.

Anugerah tahunan, yang masuk tahun keenam itu, mengetengahkan komen-komen seksis, misoginistik (antiperempuan), homofobik (antihomoseksual), transfobik (antitransgender) oleh seseorang individu atau institusi.

Kategori "menghina intelektual" dianugerahkan kepada pihak yang membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali.

Pada April tahun lalu Harussani berkata konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana si isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak.

Kamaruzaman berkata Islam mengajar supaya mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain sebagai prinsip asas dalam rumah tangga.

"Beliau (Harussani) hanya mengemukakan pandangan berdasarkan kepada fahaman agama yang tepat," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS