Terjemahan Kes saman RM83 juta oleh sekumpulan aktivis hak asasi manusia terhadap kerajaan berikutan kejadian keganasan yang berlaku sewaktu persidangan antarabangsa mengenai Timor Timor pada tahun 1996, telah ditangguhkan kepada 25-29 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azmel Ma'amor menangguhkan kes tersebut yang dijadual bermula hari ini, selepas mengadakan perjumpaan selama sejam dengan peguambela kedua-dua belah pihak di kamarnya pagi ini.

Peguam Ranjit Singh, yang mewakili plantif, memberitahu malaysiakini bahawa kes tersebut telah ditangguhkan kerana mahkamah mahu kenyataan para saksi diserahkan kepada kedua belah pihak, sekurang-kurang dua minggu sebelum perbicaraan bermula.

"Hakim merasakan aturan yang dibuat oleh pihak peguambela untuk bertukar-tukar kenyataan saksi sewaktu saksi memberi keterangan adalah tidak sesuai. Beliau merasakan adalah lebih baik kenyataan tersebut diserahkan sebelum perbicaraan kes bermula," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes tersebut, Ranjit berkata beliau memang bersedia sambil menegaskan pihaknya telahpun menyediakan kenyataan sembilan orang saksi.

Manakala peguam kanan persekutuan, Mary Lim, yang mewakili kerajaan dan pihak polis, berkata perubahan dalam aturan tersebut adalah disebabkan oleh kerumitan kes itu di mana plantif menuntut pampasan dari RM1 juta sehingga RM5 juta,

"Pihak mahkamah merasakan(kes) ini begitu rumit dan dengan itu, hakim merasakan kenyataan para saksi hendaklah difail dan diserahkan sebelum mereka memberi keterangan di mahkamah," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Aspek teknikal

Malah, Lim menjangka kedua-dua belah pihak mungkin terbabit dengan hujah-hujah perundangan yang panjang lebar mengenai aspek teknikalnya, sebelum saksi pertama boleh dipanggil untuk memberi keterangan.

"Sebelum saksi pertama dipanggil (kita perlu memutuskan) isu sama ada kenyataan yang difailkan itu boleh diterima di mahkamah atau tidak. Jadi kita akan berhujah mengenai isu penerimaan itu, sebelum (perbicaraan) bermula," katanya.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Lim berkata, tiga daripada 36 plantif telah menarik balik saman mereka.

"Ketiga-tiganya ialah Rajendran Samuel Devaraj, Stephanie Bastian dan Ivy Josiah. Tiada alasan diberikan berhubung penarikan saman tersebut," katanya.

Pada tahun 1998, seramai 36 aktivis menyaman kerajaan, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan dua pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Ismail Che Rose dan Ketua Polis Dang Wangi Zainal Abidin Ali (foto, kanan) - kerana cuai dan tahanan tidak sah.

Antara plantif tersebut ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja, Syed Shahrir Syed Mohamud; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali; Naib Presidennya, Dr Sanusi Osman dan R Sivarasa; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; pensyarah dan bekas ahli Parlimen, Dr Kua Kia Soong; Ketua Pengarang malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif malaysiakini, Premesh Chandran.

Mereka diwakili oleh Dr Kua yang meneluarkan kenyataan media di luar bilik mahkamah pagi ini.

Para aktivis berkenaan ditahan pada hari perasmian Persidangan Kedua Asia Pasifik mengenai Timur-Timur (Apcet II) yang diadakan pada 9 November 1996 bertempat di Hotel Asia di Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut kesinambungan daripada persidangan Apcet 1 pada 1994 di Manila bertujuan membincangkan isu-isu pelanggaran hak asasi manusia di Timur Timur dan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia.

Bertindak ganas

Ketika persidangan itu hendak dimulakan, kumpulan seramai 400 anggota Barisan Bertindak Rakyat Malaysia, yang diketuai oleh Pemuda Umno, telah merempuh masuk ke tempat persidangan tersebut.

Mereka bertindak ganas dengan memecah pintu dewan persidangan, membalikkan meja, membaling kerusi dan para pesertanya diserang secara lisan dan fizikal.

Manakala pihak polis, yang biasanya pantas bertindak untuk meleraikan sebarang perhimpunan haram, hanya tiba sejam kemudian untuk mengawal keadaan tersebut.

Empat pemimpin Pemuda Umno, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) turut ditahan dan kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan merusuh di tempat persidangan Apcet II. Mereka mengaku bersalah dan masing-masing didenda RM1,500.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, 36 plantif terbabit berkata pihak polis telah gagal untuk menangani dengan segera tindakan keganasan oleh kumpulan yang diketuai Pemuda Umno itu dan oleh itu telah cuai dalam memastikan keselamatan peserta persidangan tersebut.

Mereka juga mempersoalkan tindakan pihak polis menahan mereka.

Para aktivis berkenaan juga mendakwa, perintah tahanan yang dibuat terhadap mereka adalah 'tidak sempurna, tidak sah dan/atau tidak mengikut Kod Prosedur Jenayah dan oleh itu tidak sah di segi undang-undang.

Mereka juga menuntut gantirugi kerana mendakwa dianiaya oleh pihak berkuasa sewaktu mereka ditangkap dan ketika dalam tahanan.

Dalam kenyataan balasnya, kerajaan mendakwa penangkapan dan penahanan tersebut dibuat secara sah untuk memelihara ketenteraman awam selepas pihak peserta tidak menghiraukan arahan polis supaya bersurai.

Pihak polis pula mendakwa mereka telah mematuhi segala peraturan jenayah dan lokup pada sepanjang masa ketika plantif ditangkap dan ditahan.