Hentikan laporan yang menimbulkan ketegangan - Abdullah
Media Indonesia hari Isnin diminta lebih memberi perhatian kepada usaha rundingan antara negara itu dan Malaysia bagi menangani pertikaian sempadan maritim di Laut Sulawesi, dan bukannya berterusan menerbitkan laporan yang menimbulkan ketegangan kedua-dua negara.
Media Indonesia hari Isnin diminta lebih memberi perhatian kepada usaha rundingan antara negara itu dan Malaysia bagi menangani pertikaian sempadan maritim di Laut Sulawesi, dan bukannya berterusan menerbitkan laporan yang menimbulkan ketegangan kedua-dua negara.
Menurut laporan
Bernama
, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Malaysia mahu hubungan baik antara kedua-dua negara kekal dan masalah itu boleh diselesaikan di meja rundingan.
"Kita memberi harapan dan tumpuan kepada usaha peringkat rundingan dan di akhir rundingan akan ada kejayaan yang membawa kepada penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semai Bakti-Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Felda Jerangau Barat, di Hulu Terengganu hari ini.
Turut hadir ialah isterinya Datin Seri Endon Mahmood, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh dan beberapa menteri kabinet.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib semalam bahawa kerajaan sedang menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap media Indonesia yang melaporkan banyak cerita yang tidak benar sejak kebelakangan ini, terutama mengenai isu sempadan maritim itu.
Sabtu lalu, Najib dalam satu kenyataan akhbar menafikan beliau meminta maaf kepada Atase Pertahanan Indonesia Kol Hartind Hazrin mengenai pergeselan kapal KD Rencong milik TLDM dan KRI Tedung Naga kepunyaan tentera laut Indonesia seperti yang disiarkan akhbar Kompas.
Mengulas laporan Kompas itu, Abdullah berkata ia satu berita yang dianggapnya hendak menghina Najib.
"Dengan buat berita begitu mungkin akan menimbulkan kemarahan rakyat mereka dan saya percaya tindakan yang hendak Najib ambil itu lahir daripada perasaannya yang beliau telah pun dimalukan oleh pihak kompas," kata Abdullah.
Perdana Menteri berkata berita sebegitu mungkin boleh menimbulkan ketegangan di antara kedua-dua negara pada hal mereka sepatutnya memberi penekanan dan harapan kepada kejayaan rundingan diplomasi antara Malaysia dan Indonesia.
"Bukan dengan membuat rencana yang menimbulkan kemarahan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.