Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontroversi pameran UBB kerana hadis di pinggul beruang
Diterbitkan:  Sep 1, 2016 9:15 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Pameran United Buddy Bears (UBB) bagi menggalakkan keamanan dan keharmonian menimbulkan kontroversi apabila tulisan hadis dikesan pada pinggul salah satu patung beruang berkenaan.

Pameran UBB menampilkan 140 patung beruang setinggi dua meter dan diadakan di Padang Kota Lama di George Town, Pulau Pinang mulai 27 Ogos lalu sehingga  30 Oktober depan.

Menurut mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor, petikan tulisan dalam bahasa Arab tercatat di bahagian pinggul patung beruang itu ialah suatu hadis Nabi.

“Patung United Buddy Bears itu telahpun disingkirkan hari ini (semalam)," katanya dalam satu kenyataan media.

Tulis itu berbunyi: "Tidak beriman seorang yang tidak menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya sendiri.”

“Walaupun tujuan pameran ini baik iaitu untuk menggalakkan kedamaian dan persatuan antara sesama nanusia tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan budaya, tetapi dengan wujud tulisan tersebut di tempat yang tidak sesuai berkemungkinan menimbulkan salah faham orang ramai terutama masyarakat Islam.

“Diharap selepas ini pihak penganjur pameran akan merujuk kepada Jabatan Mufti atau pihak Jabatan Agama terlebih dahulu jika didapati wujud apa-apa tulisan atau perkataan yang berkaitan dengan agama Islam untuk memastikan tiada sebarang unsur yang terlarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Salim juga merakamkan rasa terima kasih kepada penganjur pameran atas kerjasama mereka.

“Selaku Mufti Negeri Pulau Pinang saya amat berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana mengambil langkah segera mengelak reaksi yang tidak sihat daripada kalangan yang mungkin tersalah tafsir pameran itu sebagai menghina agama Islam atau mengelak daripada dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk tujuan mereka yang tersendiri," katanya.

Menurut laman web UBB, setiap 'Buddy Bear' direka secara individu oleh artis bagi pihak negara asal mereka.

"Reka bentuk yang pelbagai Buddy Bears - sentiasa mengambarkan ciri khas dari negara masing - membolehkan pelawat untuk mengalami perjalanan di seluruh dunia.

"Buddy Bears berdiri bersama bergandingan tangan melambangkan visi masa depan dunia yang aman," petik laman webnya.

Patung beruang ini pernah dipamerkan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dari Disember 2011 hingga Februari 2012, dengan artis Imuda mereka-bentuk sebuah patung beruang bagi pihak Malaysia.

Pameran di Kuala Lumpur, dan aktiviti berkaitannya berjaya mengumpulkan RM285,750 untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS