Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri berkata syarikat Melayu-Bumiputera hari ini sukar untuk mendapatkan sijil halal bagi setiap produk yang dihasilkan mereka.

Menurut Ismail, permasalahan tersebut berlaku kerana pengusaha terpaksa memenuhi prosedur pemilikan sijil halal yang agak ketat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Syarikat Melayu Bumiputera mempunyai modal yang agak terhad, kadang-kadang susah untuk mereka penuhi apa yang dipohon bagi memenuhi prosuder yang ditetapkan seperti tambahan mesin.

"Jadi mereka terpaksa berbelanja lebih untuk memenuhi prosedur (pemilikan sijil halal Jakim) tersebut sehingga ada yang terus tak berminat untuk dapatkan sijil halal," kata Ismail.

Justeru, bagi membantu para usahawan kecil khususnya di kalangan Melayu-Bumiputera, Ismail mencadangkan agar Jakim memberi kelonggaran dalam pemilikan sijil halal.

"Saya tahu tanda halal ini amat penting kepada Jakim dan Jakim amat serius dalam memberi sijil halal khususnya yang melibatkan makanan.

"Tetapi dalam hal ini saya ingin mencadangkan tapi saya tak tahu Jakim mahu terima atau tidak agar melonggarkam sedikit prosedur pemberian sijil halal," kata Ismail.

Malah, Ismail yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau percaya dan yakin setiap pengusaha makanan yang beragama Islam amat menitik-beratkan soal halal.

"Untuk usahawan Islam yang 100 peratus pekerja Islam saya mohon untuk kelonggaran tersebut sebab dari segi kehalalan produk itu menjadi keutamaan kepada mereka.

"Walaupun mereka usahawan mereka juga fikir dosa san pahala apabila keluarkan produk khususnya makanan," kata Ismail.

Terdahulu Ismail merasmikan Halal Fiesta Malaysia atau Halfest yang berlangsung selama lima hari bermula 31 Ogos hingga 4 September di pusat pameran MINES, Seri Kembangan hari ini.

Halfest adalah ekspo perniagaan dan perdagangan untuk para usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka sekali gus membangunkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.