Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana datangnya wang sebanyak itu, MP soal Jamal
Diterbitkan:  Sep 1, 2016 4:57 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos perlu mendedahkan sumber kekayaannya atau berdepan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.

Ini selepas Jamal yang mengepalai Gerakan Merah berkata semalam, beliau akan memberikan wang sebanyak RM1,000 seorang kepada 115 ketua cawangan Umno dalam bahagiannya.

Ujar Jamal, pemberian tunai itu adalah sebagai alternatif selepas membatalkan rancangan untuk membawa ketua-ketua cawangan itu bercuti ke Dubai.

"Pengumuman beliau itu menimbulkan satu persoalan iaitu dari mana dan apakah sumber dana beliau?

"Saya pasti bukan sahaja ahli Umno tetapi rakyat Malaysia juga ingin tahu jika dana itu datang daripada poket sendiri, bahagian atau derma.

"Jika wang itu daripada poket sendiri, kemudian dia mewajarkan bahawa pendapatannya adalah mencukupi untuk kemurahan hatinya.

"Jika Jamal tidak bersedia untuk berterus-terang mengenai sumber dananya, maka SPRM perlu menjalankan siasatan," kata ahli parlimen DAP itu.

Baru-baru ini, Jamal membatalkan janjinya untuk membawa kesemua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.

Sebaliknya, janji percutian itu ditukarkan kepada pemberian wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan tersebut.

"Lima bulan lepas saya dah berjanji kepada 115 ketua cawangan tetapi hanya 80 yang bersetuju untuk dibawa bercuti ke Dubai.

"Justeru itu saya batalkan tawaran percutian tersebut dan kos percutian kita kongsi bersama yang mana setiap seorang perwakilan akan mendapat RM1,000," kata Jamal disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Jamal berkata demikian dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar kali ke 13 bagi tahun 2016 di Dewan Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS