Datuk miliki 40 cucu bersyukur dapat tunai haji
Umurnya dikatakan telah mencecah 92 tahun dan mempunyai 40 orang cucu, namun bagi Yaso Ahmad, usia sebegitu bukan menjadi halangan kepadanya untuk menunaikan haji.
Beliau dari Kampung Langkap, Setiu, Terengganu sedikit pun tidak pernah menyangka dimurahkan rezeki untuk dijemput ke Makkah bersama cucunya Amran Ab Latiff, 50, sebagai 'Dhuyufurrahman' atau tetamu Allah SWT.
"Bilo dapat tau (dapat mengerjalan haji) tu sukolah. Sukolah dapat tengok Kaabah dan doa banyak-banyok," katanya bila ditanya mengenai perasaannya yang dapat menunaikan rukun haji.
Beliau yang merupakan jemaah haji tertua dari Malaysia berkata hasil daripada pekerjaan kampung yang dilakukan selama ini, beliau telah menyimpan sedikit demi sedikit dalan akaun Tabung Haji untuk mencapai cita-citanya yang lama terpendam itu.
Ditanya mengenai petua menjaga kesihatannya, Yaso berkata tiada sebarang rahsia atau petua yang diamalkannya kecuali beliau jarang mengambil minuman berais.
Beliau turut menunjukkan kekuatan berlari dan membaca surah Yassin kepada para wartawan di akhir temubual itu.
Amran berkata datuknya itu memang seorang yang kuat semangat termasuk mempunyai kekuatan fizikal.
"Sebelum menunaikan haji, datuk saya melakukan senaman dengan berlari-lari anak di sepanjang pantai di Setiu dan masih kuat melakukan kerja-kerja lain seperti menebang pokok," katanya yang berniaga air kelapa di Kota Bharu.
Yaso mempunyai lima anak yang kesemuanya perempuan yang tiga daripadanya telah meniggal dunia.
Amran yakin datuknya berusia lebih daripada 92 tahun seperti yang dicatat dalam kad pengenalannya.
"Bayangkan adik dia kini berusia 95 tahun sedangkan ini abang dia. Tetapi apa pun saya bersyukur kerana datuk saya masih sihat dan kuat dan masih bersama-sama kami sehingga kini," katanya.
- Bernama

