Gerakan pro-kerajaaan Kristian untuk Keamanan dan Keharmonian Malaysia (CPHM) mengadakan makan malam sebagai menghargai semangat patriotik imam Nasir Abas, seorang bekas askar yang melengkapkan larian solo sejauh 500 kilometer dari Kedah ke Dataran Merdeka di ibu negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 tahun ini.

"Ini patut diiktiraf dan kami mahu menggalakkan Nasir agar beliau meneruskan usahanya untuk memupuk perpaduan di negara ini," kata pengerusi CHPM Reverend Wong Kim Kong dalam satu kenyataan.

Wong turut menyumbangkan RM3,000 sebagai menghargai usaha Nasir pada makan malam Hari Kebangsaan CHPM, malam tadi yang juga bertujuan mengiktiraf sumbangan Angkatan Tentera menjaga keamanan di Malaysia sejak Merdeka.

"CPHM dengan bangganya menyokong usaha Nasir, seorang bekas tentera merangkap imam sebuah masjid di Kuala Kedah, dalam melengkapkan larian 500km beliau.

“Larian itu juga bagi mengingatkan rakyat betapa pentingnya Hari Kemerdekaan kita," kata Wong.

Lebih daripada 70 orang, termasuk veteran tentera, pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan, paderi gereja dan pemimpin masyarakat menghadiri majlis makan malam ini, bersama-sama dengan pemimpin beberapa NGO Melayu.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan CPHM untuk menggalakkan semangat patriotik, termasuk menyebarkan mesej keamanan dan menjaga keharmonian dalam negara.

Pada masa yang sama, CHPM berkata, ia juga mahu mengiktiraf sumbangan veteran tentera yang telah berkhidmat dan berkorban untuk negara.

"Ini selaras dengan wawasan CPHM, yang di luar garis sempadan mana-mana agama. Tiada agenda agama dalam misi kami," kata Wong.

[Baca berita penuh]